KUALA NERUS: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kelautan (FTKK) menganjurkan Hari Bersama Industri FTKK 2025 selama dua hari bermula 17 November 2025 di Dewan Sultan Mizan (DSM), UMT bagi memperkukuh jalinan strategik antara universiti dan industri.
Bertemakan “NexTECH FTKK 2025: Meneraju Inovasi Teknologi bersama Industri”, program itu menghimpunkan penyertaan rakan industri, alumni, pelajar dan warga akademik sebagai platform perkongsian ilmu serta pemindahan teknologi dalam bidang kejuruteraan kelautan, maritim, tenaga boleh diperbaharui dan teknologi berkaitan.
Penolong Naib Canselor (Prestasi, Strategi dan Korporat) UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Fadzil Mohd Akhir berkata NexTECH 2025 membuktikan komitmen berterusan universiti dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi dan selari dengan keperluan industri semasa.
“Penglibatan industri secara langsung melalui program seperti ini dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan, selain mengukuhkan kerjasama strategik dalam aspek latihan, inovasi dan pemindahan teknologi,” katanya ketika merasmikan program berkenaan.
Program itu meliputi sembilan segmen utama termasuk Industry Tech-Talk, pameran dan pertandingan inovasi, Forum Industri–Universiti, sesi rundingan One-on-One, pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) serta lawatan ke fasiliti makmal dan kapal penyelidikan UMT.
Sebanyak 40 reruai pameran melibatkan penyertaan UMT dan industri disediakan, selain enam sesi ceramah dan demonstrasi teknologi oleh penceramah industry khususnya wakil darai syarikat minyak dan gas terkemuka.
Dalam majlis sama, UMT memeterai MoU dengan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Jabatan Tenaga Manusia (JTM), Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bagi memperkukuh pembangunan modal insan dan kebolehpasaran graduan, selain pemeteraian Surat Niat (LoI) FTKK bersama Dwi-Tecno Sdn. Bhd. dan Ranaco Marine Sdn. Bhd. – UTUSAN










