Haram jual pakej haji Visa Mujamalah palsu

Haram jual pakej haji Visa Mujamalah palsu

Mohd. Na’im Mokhtar (tengah) dalam sidang akhbar di Mekah semalam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Perbuatan sesetengah ejen menipu dan memakan hasil titik peluh orang lain dengan menawarkan pakej haji Visa Mujamalah palsu adalah haram di sisi agama Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, pihaknya sekali lagi mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dengan tawaran haji Visa Mujamalah berikutan kes-kes penipuan tersebut membabitkan jumlah kerugian yang besar.

“Kita sudah habis mencuba buat khutbah Jumaat supaya tidak tertipu namun masih lagi ada kes penipuan Visa Mujamalah.

“Kepada mereka yang merupakan ejen yang memanipulasi dan menipu pula saya sudah cakap dahulu bahawa haram bagi mana-mana pihak yang menggunakan usaha menipu dan makan hasil orang lain dengan cara yang batil,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Semalam, Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali dipetik berkata, seorang individu menjadi mangsa pertama kes penipuan Visa Mujamalah membabitkan kerugian RM71,000.

Dalam pada itu Mohd. Na’im percaya kebanyakan umat Islam akan menyimpan wang untuk menunaikan haji dalam tempoh masa panjang.

“Biarlah duit yang kita simpan itu benar-benar kita dapat manfaatkan dan kita dapat laksanakan haji yang sebenar tanpa memberi ruang dan peluang kepada mereka yang cuba memanipulasi dan menipu,” katanya.

Selain itu, katanya, kawalan ketat di semua sempadan dan juga pintu masuk Masjidil Haram bagi mengekang kemasukan individu tanpa visa haji yang sah ternyata menjaga keselamatan jemaah haji yang mempunyai permit sah.

Menurutnya, langkah membendung pengerjaan haji tanpa visa yang sah adalah demi menjaga keselamatan, kemaslahatan dan keselesaan semua jemaah haji yang datang dari seluruh pelusuk dunia dengan visa yang sah.

“Keselamatan jemaah haji yang mempunyai permit lebih terpelihara dari segi logistik dan kebajikan, lebih-lebih lagi dalam suasana sesak dengan jutaan manusia, ditambah pula dengan cuaca yang panas.

“Kawalan ketat yang dilakukan ini turut memberi impak positif kepada para jemaah haji kita kerana keadaan di Masjidil Haram lebih terkawal dan perjalanan haji para jemaah dapat dilakukan dengan lebih selesa dan sempurna, Insya-Allah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN