PETALING JAYA: Seorang lelaki bergelar ustaz dipercayai menjadi dalang utama untuk meraih kepercayaan 47 jemaah warga emas yang terpedaya tawaran menunaikan ibadah haji secara persendirian (DIY) tanpa melalui saluran sah.
Pemilik sebuah madrasah itu antara dua lelaki ditahan pihak polis bagi membantu siasatan berkaitan kes itu, baru-baru ini.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, siasatan mendapati suspek berusia 59 tahun itu dipercayai menerima pembayaran terus daripada jemaah ke dalam akaun bank atas nama madrasah yang dikendalikannya.
Menurutnya, siasatan turut mendapati tawaran menunaikan haji secara persendirian atau DIY tanpa melibatkan syarikat agensi tempatan.
“Setakat ini dua individu yang berperanan sebagai pemilik dan pembimbing berusia 58 dan 59 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan, masing-masing di Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai.
“Sebanyak 22 laporan polis yang turut dibuat oleh ahli keluarga mangsa dan jemaah dan sembilan jemaah sudah dirakam percakapan manakala baki yang lain masih dalam tindakan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Muhammed Hasbullah berkata, pihak polis menasihatkan semua yang terlibat untuk tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan.
“Siasatan juga mendapati kes ini tidak membabitkan mana-mana agensi pelancongan dan umrah tempatan.
“Kes masih lagi dalam siasatan dan akan segera dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan,” katanya.
Media melaporkan perjalanan 47 jemaah warga emas Malaysia untuk menunaikan haji bertukar mimpi ngeri apabila ditipu ejen haji tempatan dipercayai membabitkan seorang agamawan terkenal.
Jemaah yang terpedaya dengan janji manis mendakwa dipaksa meredah laluan berbahaya dengan berjalan kaki tanpa dokumen untuk ke Makkah sebaik tiba di Jeddah, susulan kawalan ketat pihak berkuasa Arab Saudi terhadap jemaah yang tidak mempunyai visa haji.
Sharifah Azzahra, anak kepada pasangan warga emas yang menjadi mangsa penipuan ejen berkenaan, berkata ibu, bapa dan ibu saudaranya bertolak ke Arab Saudi untuk mengerjakan haji bersama ejen berkenaan pada 9 Mei lalu. – UTUSAN










