Gegaran di Ipoh, polis adakan pertemuan dengan agensi berkaitan - Utusan Malaysia

Gegaran di Ipoh, polis adakan pertemuan dengan agensi berkaitan

NOOR Hisam Nordin dalam sidang akhbar di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis akan mengadakan pertemuan dengan agensi berkaitan bagi membantu siasatan berhubung bunyi letupan kuat dan gegaran yang dirasai di beberapa kawasan di sekitar daerah ini semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, perjumpaan yang akan diadakan dalam masa terdekat itu bagi mengenal pasti punca letupan sekali gus membincangkan isu tersebut secara mendalam.

Katanya, setakat ini, tiada laporan diterima membabitkan kecederaan mahupun kerosakan harta benda.

“Insiden ini membabitkan kepentingan awam dan telah menimbulkan keresahan mereka. Jadi ia perlu ditangani secara berhemah di mana satu perjumpaan dengan agensi berkaitan akan diadakan untuk membincangkan isu ini dengan lebih mendalam.

“Kita akan panggil agensi berkaitan terutama operator kuari dan pakar geologi serta pasukan sahabat termasuk tentera dan Pasukan Gerakan Am (PGA) kerana mereka mempunyai akses kepada bahan letupan.

“Kita perlukan semua maklumat dan maklum balas daripada agensi dan pihak berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Perak di Mes Pegawai Kanan Polis Perak, di sini hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan siasatan yang dijalankan, letupan dan gegaran yang dirasai itu bukan berpunca daripada aktiviti kuari, gempa bumi mahupun latihan pasukan keselamatan.

Katanya, orang ramai tidak perlu khuatir dan berasa bimbang dengan insiden tu dan boleh melakukan aktiviti harian seperti biasa.

“Buat masa ini, penduduk di kawasan terlibat khususnya di Ipoh diminta tenang dan jalani kehidupan seperti biasa,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kebimbangan penduduk selepas didakwa mendengar bunyi letupan kuat dan gegaran di kawasan Klebang dan Chemor serta lokasi berhampiran sekitar pukul 10.30 pagi, semalam.

Gegaran diikuti bunyi dentuman kuat turut berlaku pada 21 Oktober 2024 melibatkan beberapa kawasan termasuk Tasek, Stadium Perak, Manjoi, Meru, Falim, Bercham dan pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) dekat Terowong Menora.

Pada Oktober 2018, insiden sama pernah berlaku di bandar raya ini dan daerah berdekatan termasuk Taiping namun punca kejadian itu masih kekal misteri sehingga kini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN