KUALA LUMPUR: “Saya minta maaf andai ada yang kurang selesa dengan kemesraan saya bersama Syed Saddiq.”
Demikian kata penyanyi dan pelakon, Bella Astillah yang memohon maaf kepada pihak yang sudah jemu melihat kemesraannya bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq, sejak kebelakangan ini.
Menurut Bella atau Dayang Nabellah Awang Astillah, 31, kemesraan itu wujud hanyalah sekadar untuk memenuhi tuntutan kerja yang sudah ditandatangani bersama.
“Itu hanyalah kolaborasi yang kami perlu selesaikan untuk klien. Kontrak yang kami sudah tandatangan pun berterusan malah ada yang sampai tahun depan.
“Disebabkan itu, kami perlu buat siaran langsung dan lain-lain bersama. Tetapi kalau ada lebih daripada kerja itu doa yang baik-baik,” katanya.
Bella berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis pelancaran single terbaharunya bersama Ade Govinda, Lebih Indah Berpisah, kelmarin.
Ditanya sama ada kemesraan yang ditonjolkan hanyalah sekadar konten, ibu kepada dua cahaya mata itu menafikan sebaliknya mengakui segalanya berlaku secara spontan.
“Seperti yang semua tahu, Syed Saddiq bukanlah seorang pelakon. Jadi, segalanya berlaku secara spontan dan semula jadi. Semua itu dilakukan mengikut ‘job scope’ yang diberikan,” jelasnya.
Bella bagaimanapun mengakui dirinya kurang selesa untuk mengulas lanjut mengenai hubungannya bersama Syed Saddiq itu demi menjaga martabatnya sebagai seorang wanita dan ibu tunggal.
“Untuk mengulas tentang perhubungan ini, saya sebenarnya segan sebab saya seorang wanita dan saya juga ada dua orang anak. Saya rasa kurang sopan dan kurang manis untuk diri saya cakap lebih-lebih tentang hal ini.
“Apa yang saya boleh katakan doakan yang baik-baik. Mungkin itu kedengaran klise tetapi itu adalah yang terbaik,” ujarnya.