Mahkamah Persekutuan tolak permohonan Bersatu - Utusan Malaysia

Mahkamah Persekutuan tolak permohonan Bersatu

ISTANA KEHAKIMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi mendapatkan kebenaran merayu untuk mengosongkan kerusi empat Ahli Parlimen Sabah kerana berpaling tadah.

Kerusi itu disandang oleh Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang).

Yang Arif Tan Sri Nallini Pathmanathan dan Yang Arif Datuk Collin Lawrence Sequerah menolak permohonan kebenaran merayu yang dikemukakan parti itu. Bagaimanapun, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Yang Amat Arif Datuk Azizah Nawawi, yang mempengerusikan panel, mengemukakan pendapat berbeza.

Dalam keputusan majoriti, Nallini berkata, kebenaran merayu di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 tidak wajar diberikan kerana kes tersebut bukan melibatkan semakan kehakiman pentadbiran, sebaliknya semakan kehakiman Perlembagaan.

“Kita berdepan kuasa Perlembagaan Speaker (Dewan Rakyat) di bawah Perlembagaan Persekutuan. Kuasa tersebut tidak boleh diadili berkaitan prosiding dalam Parlimen berdasarkan Artikel 63 dan 72 Perlembagaan Persekutuan.

“Mahkamah terikat untuk memberi pertimbangan kepada doktrin pengasingan kuasa dan keistimewaan Parlimen,” katanya.

Hakim Azizah pula yang berbeza pandangan menjelaskan persoalan undang-undang yang dibangkitkan adalah sangat penting kerana melibatkan kepentingan awam.

Beliau berkata, Ahli-ahli Parlimen telah menyuarakan kebimbangan semasa perbahasan pindaan Artikel 49A berhubung kuasa Speaker untuk menentukan kekosongan luar jangka.

“Penentuan itu mesti berdasarkan fakta dan tidak diserahkan kepada budi bicara Speaker,” katanya.

Pada prosiding berkenaan, peguam, Azhar Harun, Chetan Jethwani dan Tang Jia Yearn mewakili Bersatu, manakala Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly dan Imtiyaz Wizni Aufa Othman bertindak bagi pihak Speaker.

Peguam, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, Wafiy Azman, Woo J Enn, Wardah Yumna Yunus dan Harel Nieryan hadir mewakili Ahli-ahli Parlimen berkenaan.

Bersatu memfailkan saman bagi mencabar keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Dr. Johari Abdul, yang enggan mengisytiharkan kekosongan luar jangka bagi empat kerusi tersebut selepas Ahli Parlimen berkenaan menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi saman itu, Bersatu berhujah keputusan Johari untuk tidak mengosongkan kerusi berkenaan adalah ‘dicemari ketidakpatuhan undang-undang’. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×