KUCHING: Para pegawai kanan anggota ASEAN setuju memuktamadkan Pelan Tindakan ASEAN Untuk Tenaga (APAEC) bagi fasa kedua untuk tempoh 2026–2030.
Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Dato’ Hj. Mad Zaidi Karli berkata, fasa kedua itu dipersetujui dalam Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Tenaga (SOME) Ke-43 yang berakhir semalam.
“Ia akan membina kesinambungan daripada fasa satu dengan penekanan kepada peralihan tenaga bersih, keterjaminan tenaga dan integrasi serantau,” katanya ketika ditemui semalam.
Selain itu, katanya turut dipersetujui Memorandum Persefahaman (MoU) Mempertingkatkan Grid Tenaga ASEAN (APG), yang akan menjadi dokumen dasar bagi pelaksanaan inisiatif APG yang dijangka akan diterima dan ditandatangani oleh negara-negara ASEAN semasa mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN.
Mad Zaidi menambah, mesyuarat juga bersetuju dengan kemajuan pelaksanaan bagi enam Keutamaan Tahunan sektor tenaga bagi tahun 2025 yang merangkumi memuktamadkan terma rujukan bagi Rangka Kerja Pembangunan Kabel Tenaga Dasar Laut beserta perkara berkaitan mekanisme pembiayaan bagi APG.
Ia termasuk menandatangani Perjanjian Pengganti, Perjanjian Keselamatan Petroleum ASEAN (APSA); meluncurkan Pangkalan Data Kecekapan Tenaga ASEAN dan Platform Pelaburan untuk Bangunan dan memuktamadkan penyediaan Pelan Hala Tuju Tenaga Boleh Diperbaharui Jangka Panjang (LTRM).
Seterusnya membangunkan Rangka Kerja Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui ASEAN (REC) dan membangunkan Rangka Kerja Penggunaan Loji Tenaga Nuklear (NPP).
“Persetujuan yang dicapai dalam mesyuarat peringkat pegawai kanan ini akan membolehkan tindakan susulan dilakukan bagi memastikan semua bidang keutamaan tahunan yang ditetapkan dicapai dan diterima semasa mesyuarat peringkat menteri-menteri tenaga di Kuala Lumpur pada Oktober nanti,” katanya.
Dalam pada itu, Mad Zaidi berkata, Malaysia sememangnya berpotensi besar untuk menerajui peralihan tenaga serantau dan seterusnya membuka ruang kepada pelaburan asing, berdasarkan beberapa kekuatan strategik dan dasar yang telah dirangka dan dilaksanakan.
Katanya, ia merangkumi penetapan komitmen dasar yang kukuh, yang mana Malaysia telah melancarkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dengan sasaran mencapai 70 peratus kapasiti tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050.
“Dasar ini menunjukkan kepimpinan dan kejelasan hala tuju dalam peralihan tenaga, yang boleh menjadi contoh kepada negara ASEAN lain,” katanya.
Pada masa sama, katanya, keupayaan kendalian infrastruktur pembekalan, yang mana Malaysia aktif dalam usaha menaik taraf sistem serta rangkaian grid bekalan elektrik bagi menyokong kemasukan kapasiti tenaga boleh diperbaharui melalui integrasi sistem penyimpanan tenaga (BESS) dan digitalisasi, menjadikan Malaysia berkemampuan menerajui perkara berkenaan di peringkat serantau.
Beliau berkata, ia juga merangkumi ekosistem pelaburan yang kondusif, dengan Malaysia telah menyediakan iklim pelaburan yang stabil serta kemudahan infrastruktur perniagaan yang moden, dasar mesra pelabur, insentif fiskal yang menarik serta sokongan institusi yang kukuh untuk memudahkan kemasukan pelaburan asing dalam sektor tenaga bersih daripada semua negara.
“Dengan dasar yang jelas dan kapasiti yang sedang dibangunkan, Malaysia bukan sahaja mampu menerajui peralihan tenaga di ASEAN malah berpotensi menjadi destinasi utama pelaburan tenaga bersih di rantau ini,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menyifatkan penganjuran Mesyuarat SOME Ke-43 di Sarawak telah membuka peluang yang besar untuk memperkenalkan Sarawak kepada delegasi ASEAN sebagai sebuah negeri yang kaya dengan sumber semula jadi, komited terhadap tenaga boleh diperbaharui dan bersedia memainkan peranan penting dalam agenda tenaga serantau. – UTUSAN