KUALA LUMPUR: Empat lelaki termasuk tiga warga Singapura dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas pertuduhan mengedar dadah kokain dalam bentuk cecair melebihi sembilan liter, minggu lalu.
Tertuduh terdiri daripada seorang warga tempatan, Kong Sien Mee, 57, serta tiga warga Singapura iaitu Quek Kien Seng, 45, Tristan Chiew Jin Zhong, 25 dan Ivan Tan Zhi Xuan, 31.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amalina Basirah Md. Top kerana kes tersebut di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama mengedar cecair kokain anggaran 9,420.2 ml (9.4 liter) di jalan keluar sebuah hotel di Ampang Jaya, Selangor pada pukul 11.45 pagi, 19 Jun lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati hendaklah dikenakan sekurang-kurangnya 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M. Ramanathan Alias Ashwin manakala tiga tertuduh warga Singapura diwakili peguam bela, Ille Maryam Yusnawannie. Sien Mee tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 8 September ini untuk sebutan semula kes dan serahan laporan kimia.
Pada 19 Jun lalu, polis menumpaskan sindiket pengedaran rokok e-elektronik (vape) mengandungi cecair kokain melalui penahanan empat termasuk warga Singapura berhampiran sebuah hotel Ampang Jaya.
Menurut laporan media sebelum ini, pihak polis dalam satu serbuan telah merampas cecair kokain yang dianggarkan bernilai RM7.2 juta.
Dalam serbuan kira-kira 11.45 pagi itu, tiga lelaki berusia antara 25 dan 57 tahun itu ditahan ketika berada dalam kenderaan Toyota Vellfire manakala seorang lagi dipercayai dalang sindiket ini berusia 31 tahun ditahan di lobi hotel terbabit.
Pemeriksaan ke atas kenderaan terbabit turut menemukan 10 kotak mengandungi sebanyak 4,958 katrij vape berisi cecair dadah kokain seberat 9,420.2 ml yang dianggarkan bernilai RM7.29 juta. – UTUSAN