SUNGAI PETANI: Polis membongkar tindakan sindiket pengedahan dadah yang menggunakan inap desa sebagai stor selepas merampas 62 kilogram syabu bernilai RM3.1 juta di Kota Kuala Muda, kelmarin.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, kegiatan terbongkar melalui penahanan seorang lelaki Indonesia berusia 47 tahun di tepi jalan Kampung Permatang Ringan, kira-kira pukul 6.30 petang, Selasa lalu.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas lelaki terbabit menemukan 150 gram syabu dalam poket seluarnya dan segugus kunci.
“Siasatan lanjut membawa kita ke inap desa dan menemui 62 bungkusan syabu yang disimpan di bawah katil,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.
Kata Adzli, pihaknya turut menahan pasangan suami isteri warga tempatan berumur 42 dan 32 tahun yang menyewakan inap desa terbabit kepada suspek dengan harga antara RM1,500 hingga RM2,000 sekali sewa.
“Kita percaya dadah ini dibawa dari Lembah Klang sejak dua hari lalu sebelum menunggu waktu sesuai untuk diseludup melalui jalan laut di Teluk Bayu ke negara asal lelaki berkenaan.
“Ketika menunggu proses penghantaran, warga asing itu yang lebih dua tahun tinggal di negara ini akan menjual sebahagian kecil dadah kepada penagih tempatan untuk menampung kos hidupnya di sini,” katanya.
Beliau berkata, semakan mendapati ketiga-tiga suspek yang ditahan tiada rekod jenayah lampau dan saringan ujian air kencing mereka juga negatif. Mereka kini direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Hasil pengakuan suspek mendapati sindiket ini telah beroperasi sejak dua bulan lalu di kawasan itu dan telah melakukan tiga kali transaksi sebelum ditahan. Kita percaya ia melibatkan beberapa lagi suspek yang masih bebas,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Adzli berkata, seorang lagi suspek berusia 22 tahun dan mempunyai 10 rekod jenayah lampau ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh di Taman Kempas, Selasa lalu.
“Suspek merupakan kawan rapat mangsa. Tangkapan menjadikan seramai empat suspek sudah ditahan termasuk dua lelaki dan seorang wanita beberapa jam selepas kejadian,” katanya. – UTUSAN










