KUALA LUMPUR: 30 tahun mencipta nama dalam industri muzik tanah air, kumpulan wanita terkenal, Elite bakal menghiburkan peminat dalam sebuah konsert istimewa Elite Live’25 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada 20 September ini.
Tampil menyatukan semula anggota asal Elite iaitu Azza, Sasha Saidin, Abby Abadi, Watie Sadali dan Linda Rafar, kemunculan mereka di pentas mega itu nanti merupakan hasil maklum balas positif daripada persembahan mereka di Konsert GenKRU, Mei lalu.
“Impak GenKRU sangat kuat kerana kredibiliti bukan sahajadari kumpulan itu sahaja tetapi dari penganjur, Icon Entertainment. Itu juga membuat kami berlima mendapat inspirasi selepas melihat kejayaan konsert itu.
“Kami di sini tiada niat untuk bertanding siapa paling hebat. Kemunculan semula ini sekadar mahu memeriahkan lagi industri hiburan dan menghiasi serta mengisi permintaan peminat Elite,” kata Azza ketika di sidang media konsert tersebut, semalam.
Sementara itu, Abby turut meluahkan rasa teruja untuk menghiburkan peminat setia mereka dengan mengimbau kembali momen indah pada era 90-an.
“Segalanya diluar jangkaan. Jemputan di GenKRU sebelum ini menjadi punca kami berada di sini. Elite sudah lama tidak aktif dalam industri. Bila penganjur tawarkan untuk buat sesuatu demi kembalikan nostalgia itu.
“Kami rasa ini juga satu keseronokan untuk bawa semula memori era 1990-an itu nanti. Namun, janganlah jangkakan sesuatu yang besar daripada kami. Kami janji untuk berikan yang terbaik buat peminat yang menanti,” jelasnya.
Selaku penganjur, Iman Tang penganjuran konsert kumpulan ini bukanlah sekadar tangkap muat sebaliknya bakal melakar sejarah penting buat Elite dan industri muzik secara amnya.
“Elite Live’25 bukan penganjuran tangkap muat kerana saat ini konsert sedang hype’ tetapi melihat betapa relevan girl band ini untuk melakukan konsert berskala besar yang sepadan dengan kewujudan mereka.
“Konsert ini akan menjadi sejarah penting bukan hanya kepada kumpulan ini tetapi industri muzik amnya kerana karya-karya hebat yang diciptakan pada tahun 90-an misalnya masih menjadi kegemaran ramai,” ujarnya.
Tiket konsert Elite Live’25 bakal mula dijual bermula 26 Jun depan pada pukul 2 petang menerusi www.ticket2u.com.my/elite.
Harga tiket pula bermula RM268 bagi kategori Tamparan Wanita dan Catwalk, RM588 (Manisnya Senyumanmu) dan RM1088 (GIG).