ECERDC catat pelaburan direalisasikan RM6.4 bilion

ECERDC catat pelaburan direalisasikan RM6.4 bilion pada enam bulan pertama 2025

ANWAR Ibrahim (tengah) menghadiri mesyuarat ECERDC bagi meneliti kemajuan semasa petunjuk utama koridor ekonomi tersebut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) mencatatkan pelaburan direalisasikan berjumlah RM6.4 billion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, ECERDC juga berjaya mewujudkan lebih 2,800 peluang pekerjaan baharu setakat ini.

“Dalam tempoh yang sama, nilai pelaburan komited pula mencecah RM10.4 bilion, iaitu melepasi sasaran RM10 bilion yang ditetapkan untuk tahun 2025,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasminya hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat dalam kenyataan berkata, pelaburan ini merupakan sebahagian daripada jumlah keseluruhan RM10.4 bilion pelaburan komited yang membolehkan ECERDC melepasi sasaran tahunan pelaburan RM10 bilion bagi tahun 2025. 

Katanya, prestasi kukuh tersebut dijangka mewujudkan 2,844 peluang pekerjaan di seluruh wilayah dengan sektor pembuatan menjadi penyumbang utama, merangkumi 59 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan. 

“Pahang mencatat pelaburan tertinggi dengan RM4 bilion, diikuti Terengganu sebanyak RM1.3 bilion dan Kelantan RM1.1 bilion. 

“Johor pula menerima pelaburan sebanyak RM13.3 juta dalam sektor pertanian menerusi pembangunan fasiliti baja kompos bio di Mersing,” ujarnya.

Beliau berkata, pelaburan utama yang direalisasikan dalam enam bulan pertama 2025 termasuklah loji penapisan minyak bersepadu bernilai RM1 bilion, pembangunan pelancongan bernilai RM950 juta dan fasiliti pengeluaran Maleic Anhydride bernilai RM667 juta di Pahang. 

“Di Kelantan, loji hidro mini berkapasiti 84 megawatt bernilai RM1 bilion sedang dibangunkan, manakala Terengganu menerima pelaburan RM638 juta untuk pemprosesan batuan kuarza.

“ECERDC terus memainkan peranan penting dalam mempercepatkan pertumbuhan inklusif di seluruh Pantai Timur,” katanya.

Seiring kejayaan pelaburan tersebut, ECERDC kini sedang menyiapkan lapan projek strategik dan berimpak tinggi pada tahun 2025, selaras dengan teras strategik yang digariskan di bawah Pelan Pembangunan ECER.

“Di bawah pelan pembangunan ini, ECERDC telah menyiapkan Pusat Pengumpulan Susu Kambing di Ketereh dan Pasir Puteh, Kelantan pada April lalu serta dalam fasa akhir pembangunan Lembah Tenusu Jemaluang di Johor untuk mengukuhkan rantaian nilai berasaskan agro di wilayah tersebut. 

“Bagi menyokong pembangunan destinasi pelancongan baharu, beberapa projek sedang berjalan lancar termasuk Pusat Informasi dan Pemuliharaan Penyu Cherating di Pahang.

“Pusat Bandaraya  Kuala Terengganu (KTCC) Fasa 1, Jeti Pulau Pemanggil di Mersing serta kerja-kerja naik taraf jalan masuk ke Taman Negara Endau Rompin Johor dari Kahang ke Sungai Emas,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN