KUANTAN: Belanjawan Pahang 2026 yang dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada Jumaat lalu membuktikan kerajaan negeri bersikap adil kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda Lepar Hilir 4, Rosli Samad berkata, semua rakyat termasuk peneroka menerima pelbagai manfaat melalui inisiatif diperkenalkan kerajaan negeri.
“Kami di Pahang ini ada 115 tanah rancangan Felda dan bukan semua warga peneroka adalah rakyat asal Pahang. Namun, dalam belanjawan itu, tanpa mengira peneroka itu asal dari Pahang atau tidak, tetap menerima bantuan.
“Ini menunjukkan kerajaan negeri tidak mengamalkan diskriminasi, awak orang Pahang atau tidak, tetap terima manfaat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Mengulas lanjut tentang Belanjawan Pahang, Rosli memaklumkan, pemberian insentif kepada pimpinan komuniti Felda cukup memberikan makna kepada warga tanah rancangan itu.
“Sebelum ini hanya Pengerusi JKKR yang menerima insentif tetapi kali ini Timbalan Pengerusi dan Setiausaha JKKR juga mendapat insentif. Terbaharu, Pengerusi Gerakan Peneroka Wanita (GPW) juga menerima insentif yang sama,” katanya.
Menurutnya, pemberian insentif kepada GPW penting dan sesuai dengan masa, memandangkan sumbangan mereka juga besar dalam mensejahterakan warga peneroka di Pahang.
Jumaat lalu, Wan Rosdy ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2026 memaklumkan bahawa, kerajaan negeri menyasarkan kutipan hasil mencecah RM1.279 bilion, meningkat tujuh peratus berbanding Belanjawan 2025.
Daripada jumlah tersebut, RM1.274 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus merangkumi perbelanjaan emolumen, perkhidmatan dan bekalan, pemberian dan kenaan bayaran tetap serta perbelanjaan lain dan aset.
Ia peningkatan RM91.83 juta atau 7.76 peratus berbanding tahun 2025 dengan lebihan atau surplus sebanyak RM5 juta.-UTUSAN.










