MELAKA: Seorang duda ditemukan mati tergantung di kipas siling bilik utama rumah tunangnya di Pangsapuri Rakyat Sungai Putat, Batu Berendam di sini semalam, dipercayai akibat kecewa selepas wanita itu menyuarakan hasrat memutuskan pertunangan mereka.
Mangsa yang berusia 39 tahun bekerja sebagai tukang masak katering, dikatakan bertengkar dengan tunangnya kira-kira pukul 4.30 petang sebelum wanita itu masuk ke bilik.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, setengah jam kemudian, wanita berkenaan keluar dari bilik dan terkejut apabila mendapati tunangnya tergantung menggunakan wayar dalam bilik yang dihuni mangsa.
“Tunang mangsa yang berusia 31 tahun memaklumkan mereka bertengkar kerana isu cemburu, dan wanita itu memberitahu mahu menamatkan pertunangan. Wanita terbabit segera meminta bantuan jiran untuk menurunkan mangsa sebelum menghubungi polis,” katanya.
Christopher berkata, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah di tempat kejadian dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Batu Berendam.
“Mayat telah dihantar ke Unit Perubatan Forensik Hospital Melaka dan bedah siasat dijalankan pagi tadi,” katanya.











