GERIK: Proses bedah siasat ke atas mayat dua pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam nahas di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Jeli-Gerik di sini hari ini selesai dijalankan sebentar tadi.
Jenazah Wan Nur Suhaila Wan Muhammad, 22, dan Muhammad Adib Hazim Halim, 21, dibawa keluar dari Unit Forensik Hospital Gerik pada pukul 6.30 petang.
Jenazah kedua-dua mangsa yang dibawa menaiki van itu bergerak ke Besut, Terengganu dengan diiringi kenderaan peronda polis (MPV).
Difahamkan, jenazah Wan Nur Suhaila akan dikebumikan di tanah perkuburan di Kampung Amer manakala Muhammad Adib Hazim pula akan dibawa ke tanah perkuburan di Kampung Pasir Badak, Jertih, Terengganu.
Wan Nur Suhaila dan Muhammad Adib Hazim merupakan dua daripada 15 pelajar UPSI yang maut dalam nahas membabitkan sebuah bas persiaran dan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza.
Kejadian sekitar pukul 12.45 tengah hari itu berlaku ketika bas persiaran yang disewa khas itu dalam perjalanan dari Jertih ke kampus UPSI di Tanjung Malim.
Dalam kejadian itu, empat sekeluarga yang menaiki Perodua Alza turut cedera dan menerima rawatan di Hospital Baling.
Sementara itu, 13 jenazah pelajar UPSI yang maut dalam kejadian sama menjalani proses bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Setakat pukul 3.30 petang tadi, seramai enam jenazah telah selesai menjalani proses bedah siasat. – UTUSAN










