Dua ADUN Sabah bakal dituduh masa terdekat

Dua ADUN Sabah bakal dituduh masa terdekat

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah antara tiga individu dijangka dihadapkan di mahkamah pada masa terdekat berhubung skandal perlombongan mineral.

Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya ketika ini dalam proses tangkapan dan pemakluman kepada suspek untuk menetapkan tarikh kehadiran mereka ke mahkamah.

“Saya ingin menyatakan bahawa ada dua suspek daripada pihak ADUN dan seorang awam yang sedang dalam proses untuk kita jalankan tangkapan dan memaklumkan tarikh kehadiran mereka ke mahkamah.

“Saya tidak akan memaklumkan tarikhnya sehingga proses ini selesai dan saya yakin mereka akan didakwa di mahkamah pada bulan ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Teknologi, Pengurusan Kelestarian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kota Kinabalu, Sabah hari ini.

Sebelum ini, SPRM melancarkan Op Adun bagi menyiasat pembabitan ADUN Sabah dalam isu pengeluaran lesen perlombongan yang bermula apabila beberapa siri video disunting diterbitkan dalam portal berita dalam talian pada November lalu.

Mengulas mengenai ketulenan video melibatkan beberapa ADUN, Azam berkata siasatan tidak sepenuhnya bergantung kepada bukti video tersebut.

“Perkara itu saya tidak boleh ulas lanjut kerana ia boleh menjadi subjudis. Sudah tentu bukti akan diserahkan kepada pihak pendakwa raya untuk dinilai dan dibawa ke mahkamah sekiranya perlu.

“Namun, kami tidak hanya bergantung kepada bukti itu semata-mata, sama ada ia tulen atau tidak, tetapi juga perlu mengambil kira bukti-bukti lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN