Dr Muhaya buat penampilan khas dalam filem produksi Indonesia - Utusan Malaysia

Dr Muhaya buat penampilan khas dalam filem produksi Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pakar motivasi tersohor, Datuk Prof Dr Muhaya Mohamad tidak menyangka akan diberi peluang membuat penampilan khas dalam filem produksi Indonesia, Keajaiban Air Mata Wanita yang diadaptasi daripada pengalaman pembaca buku Rahsia Magnet Rezeki.

Mengulas mengenai pengalaman itu, Muhaya pada awalnya memang berkawan baik dengan penulis buku tersebut, Ustaz Nasrullah yang kemudian berminat untuk menyelitkannya dalam filem berkenaan. 

Bagaimanapun, Muhaya yang juga pakar mata di sebuah pusat perubatan swasta pada awalnya berat hati menerima pelawaan itu namun kembali berminat selepas dimaklumkan pengarah filem Buya Hamka, Fajar Bustomi turut bersama dalam menjayakan filem ini. 

“Setahun lalu, Pak Nas (panggilan Nasrullah) yang juga sahabat saya datang dan beritahu dia mahu bikin filem. Tiba-tiba, dia beritahu mahu saya masuk sekali dalam filem ini dan perlu ke Jakarta, tapi saya cakap susah. 

“Kemudian Pak Nas beritahu antara yang terbabit untuk filem ini adalah Fajar Bustomi yang bikin filem Buya Hamka, jadi saya sangat tertarik. 

“Tidak lama selepas itu, Pak Nas beritahu semuanya sudah siap dan minta untuk saya masuk terus,” katanya.

Muhaya ditemui Utusan Malaysia di  sidang media filem Keajaiban Air Mata Wanita di TGV Suria KLCC di sini, malam tadi.

Tambah Muhaya lagi, ucapan yang dimuatkan dalam filem ini berlaku secara spontan memandangkan pihak produksi memberi kebebasan kepadanya untuk menghasilkan skrip sendiri.

“Saya boleh kata perkara ini tak dirancang langsung, malah skrip juga tiada dalam perancangan. 

“Bila produksi datang ke rumah saya, mereka terus mulakan penggambaran. Semuanya terjadi secara spontan tanpa ada skrip,” katanya.

Ditanya adakah pakar motivasi itu bersedia untuk berlakon di mana-mana naskhah seandainya diberikan peluang, Muhaya tertawa kecil.

“Saya sokong  usaha Pak Nas yang mahu membawa mesej baik menerusi filem. Sebagai seorang yang praktis, untuk mempengaruhi pemikiran seseorang, kita perlukan tiga kaedah iaitu visual, auditori dan emosi. 

“Perhatikan dalam semua filem, apa sahaja yang orang menonton dengan emosi, akan masuk dalam diri. Jadi, babak berceramah dalam filem ini semua akan masuk tanpa sedar. 

“Ini akan membina seorang insan dan menambah kebaikan kepada ummah,” katanya.

Filem Keajaiban Air Mata Wanita mengisahkan tentang Kiki lakonan Citra, seorang wanita yang kehidupannya berubah drastik selepas kematian suaminya, Ronald. 

Dengan sokongan sahabat baiknya, Rahma (Natasha Rizky), Kiki berusaha untuk bangkit semula dan mencari kebahagiaan dalam hidupnya.

Filem ini akan menemui Malaysia penonton bermula 19 Jun ini. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN