JERANTUT: Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana RM27 juta milik SRC International Sdn. Bhd. memberi kelegaan kepada ahli UMNO khususnya sayap Wanita.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, sejak awal pergerakan itu kekal setia dan menyokong Najib sebagai pemimpin berjiwa rakyat.
“Kita sambut baik keputusan ini dan mendoakan yang terbaik buat Datuk Seri Najib. Beliau pemimpin yang banyak berjasa kepada rakyat dan parti. Budi yang ditinggalkan terlalu besar untuk diukur,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Jerantut 2025 di Dewan Majlis Daerah Jerantut (MDJ), di sini hari ini.
Pada Khamis lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan DNAA terhadap Najib selepas mendapati pihak pendakwaan belum bersedia untuk meneruskan kes itu biarpun pertuduhan difailkan sejak lima tahun lalu. – UTUSAN










