SINGAPURA: Semua pihak perlu mendukung nilai dan teras utama ASEAN bagi memastikan keselamatan, kedaulatan dan kestabilan rantau ini terus terpelihara melalui kerangka ASEAN (ASEAN-led & ASEAN driven framework) terutamanya berkaitan situasi di Myanmar dan Laut China Selatan.
Perkara itu ditegaskan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semasa mengetuai delegasi Kementerian Pertahanan (MINDEF) ke International Institute for Strategic Studies Shangri-La Dialogue 22nd Asia Security Summit (IISS SLD 2025) yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir semalam di Hotel Shangri-La, Singapura.
Bertepatan dengan Kepengerusian ASEAN pada tahun ini, beliau turut memanfaatkan pertemuan pelbagai hala dengan perkongsian pandangan mengenai cabaran keselamatan serantau, khususnya di wilayah Indo-Pasifik serta usaha-usaha memperkukuhkan Kerjasama pertahanan antara ASEAN dan negara luar.
Mohamed Khaled teruja dan menaruh harapan untuk Kerjasama yang lebih rapat bagi memastikan rantau ini kekal bebas, stabil dan selamat.
Kehadiran ke persidangan SLD 2025 ini adalah penting bagi memastikan hubungan kerjasama pertahanan antara Malaysia dengan negara-negara sahabat dapat dikekalkan dan seterusnya dipertingkatkan selaras dengan Tonggak Ketiga Strategi Pertahanan Negara iaitu perkongsian berwibawa yang menekankan hubungan pertahanan antarabangsa dalam memastikan kedaulatan negara, kestabilan serantau dan keamanan sejagat.
IISS SLD 2025 merupakan persidangan keselamatan bertaraf antarabangsa yang dianjurkan oleh Institut Antarabangsa Kajian Strategik (IISS) bermula tahun 2002 di Singapura.
Persidangan itu melibatkan penyertaan menteri-menteri pertahanan, pegawai-pegawai tertinggi tentera dan pegawai-pegawai tertinggi kerajaan dari negara-negara di rantau Asia Pasifik dan benua Eropah.
PENDEKATAN TIDAK BERPIHAK

Pada hari kedua persidangan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyampaikan Perutusan Khas di IISS SLD 2025, yang berkaitan perkongsian strategi Asia Tenggara dalam soal memperkasakan kerjasama serantau, ketahanan ekonomi dan mempertahankan autonomi serantau di tengahtengah cabaran global.
Dalam aspek keselamatan serantau, Perdana Menteri telah kongsikan antara usaha berterusan ASEAN dalam mendepani krisis di Myanmar dan pendekatan berhatihati yang diambil melibatkan pertikaian di Laut China Selatan.
Dengan tekad, Malaysia telah mengambil pendekatan tidak berpihak, memberi penekanan terhadap keadilan dan keterangkuman, serta menolak ‘sphere of influence’ dan politik blok.
Sepanjang persidangan itu, Mohamed Khaled turut menghadiri pertemuan pelbagai hala melibatkan Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN, Timor Leste dan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Pete Hegseth.
Beliau turut mengiringi Anwar semasa pertemuan Bersama Hegseth dan menerima kunjungan hormat daripada Presiden Global Boeing, Dr. Brendan Nelson AO.
Pertemuan dengan Hegseth ini merupakan terjemahan kepada hubungan akrab dalam banyak aspek termasuk pertahanan antara Malaysia dan AS.
Kunjungan hormat Brendan Nelson mempamerkan Malaysia terus menjadi tumpuan dan focus syarikat multinasional selain bakal membuka peluang untuk lebih banyak kerjasama industri, khususnya dalam menyokong pembangunan industri pertahanan tempatan.
PERTEMUAN BERMAKNA

Mohamed Khaled turut berkesempatan bertemu Menteri-Menteri Pertahanan dari negara rakan Five Power Defence dan United Kingdom (FPDA), yang terdiri dari Australia, Malaysia, New Zealand, Singapura dan United Kingdom bagi mengulangi komitmen hubungan dan Kerjasama pertahanan yang melangkaui usia 50 tahun.
Beliau turut mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatan, Chan Chun Sing yang dilantik sebagai Menteri Pertahanan Singapura pada 23 Mei lalu.
Dalam pada itu, pertemuan lain turut diaturkan bersama Menteri Pertahanan Sweden, Dr. Pal Jonson; Menteri Angkatan Tentera Perancis, Sebastien Leconu; Menteri Pertahanan Jepun, Gen Nakatani dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles.
Mohamed Khaled memaklumkan mereka menzahirkan komitmen untuk terus memperkukuhkan hubungan dan Kerjasama pertahanan sedia ada dalam pelbagai bidang.










