MELAKA: Menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha Sabtu ini, harga lembu bagi ibadah korban di sekitar Melaka kekal antara RM750 hingga RM850 satu bahagian tanpa sebarang kenaikan berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Penternak dari Kampung Pasir Panjang, Alai, Saharuddin Mohd. Nor, 58, berkata, meskipun kos makanan ternakan seperti dedak meningkat sejak tiga tahun lalu, mereka memilih untuk tidak menaikkan harga bagi ibadah korban tahun ini.
Katanya, biarpun harga dedak naik daripada RM45 kepada RM60 bagi setiap beg 50 kilogram (kg), harga lembu kekal antara RM4,500 hingga RM5,500 seekor bergantung kepada saiz dan berat.
“Harga satu bahagian lembu dikekalkan pada paras RM750 hingga RM850, sama seperti tiga tahun lalu dan ia menarik lebih ramai pelanggan dengan sebanyak 300 ekor lembu habis ditempah tiga minggu sebelum Aidiladha.
“Malah saya terpaksa tutup tempahan lebih awal kerana sambutan amat menggalakkan berbanding hanya sekitar 100 hingga 200 ekor sahaja dua tahun lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Saharuddin, lembu baka Brahman dengan berat antara 350 hingga 600kg menjadi pilihan utama pelanggan selain baka tempatan seperti KK Cros.
Katanya, antara pelanggan tetapnya termasuk pihak masjid, surau, pusat tahfiz, jabatan kerajaan, syarikat korporat dan individu perseorangan dari Melaka, Kuala Lumpur dan Segamat, Johor.
Saharuddin turut menyediakan khidmat penyembelihan dan melapah.
“Harga lembu korban ini memberikan kelegaan kepada umat Islam yang merancang menunaikan ibadah korban dalam suasana ekonomi mencabar.
“Inisiatif penternak yang tidak menaikkan harga disambut baik oleh pelanggan yang menghargai keikhlasan peniaga dalam membantu kelangsungan ibadah umat Islam,” katanya. – UTUSAN