CYBERJAYA: Semua data yang dikumpulkan menerusi inisiatif Data Telefon Bimbit (MPD) daripada syarikat telekomunikasi adalah bertujuan memacu agenda pendigitalan negara serta digunakan bagi penyediaan statistik rasmi negara.
Menegaskan perkara itu, Timbalan Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Datuk Zurkarnain Mohd. Yasin berkata, MPD bukan bertujuan menjejaki keberadaan individu secara peribadi, tetapi bagi mengumpul data statistik dalam bentuk baharu menggunakan teknologi digital dan analitik data raya.
“MPD adalah transformasi besar dalam pengumpulan data statistik. Jika sebelum ini dilakukan melalui kajian.
“Kini kita perkenalkan kaedah digital yang lebih efisyen. Tujuannya untuk kegunaan statistik rasmi negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas taklimat bersama media di sini, hari ini.
Zurkarnain berkata, data yang dikumpulkan telah diproses untuk menghapuskan sebarang elemen yang boleh mengenal pasti maklumat peribadi individu termasuk nama, nombor kad pengenalan dan alamat.
Malah, katanya, lokasi yang dikumpulkan juga bukan lokasi individu, sebaliknya adalah lokasi menara pemancar,” katanya.
Menurut beliau, sejak awal lagi MCMC telah menetapkan kepada semua penyedia perkhidmatan telekomunikasi menghantar data yang telah dianonimkan sahaja dan bukan merupakan ‘raw data’.
“Daripada lapan set data yang diperlukan, kita minta semua diproses secara anonymous (tanpa nama).
“Penyedia perkhidmatan sendiri memastikan pematuhan terhadap Akta Perlindungan Data Peribadi kerana data yang telah dianonimkan tidak dikategorikan sebagai data peribadi,” jelasnya.
Tambah beliau, semua syarikat telekomunikasi termasuk CelcomDigi, U Mobile dan Telekom Malaysia telah bersetuju untuk menyerahkan data yang diperlukan mengikut keupayaan masing-masing dalam memproses data secara anonymous.
Zurkarnain menjelaskan bahawa MCMC dan Jabatan Perangkaan telah melaksanakan pelbagai libat urus sebagai satu bentuk rundingan awam dengan pihak berkepentingan sejak peringkat awal pelaksanaan MPD. – UTUSAN