PETALING JAYA : Proses merakam keterangan seorang pemegang konsesi lebuh raya bergelar Tan Sri yang disiasat berhubung dakwaan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya Lembah Klang dijadualkan semula pada khamis depan.
Ini selepas rakaman percakapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap individu itu di kediamannya tidak dapat disempurnakan semalam akibat masalah kesihatan.
Namun begitu, Utusan Malaysia difahamkan, pasukan siasatan bersama Pasukan Taktikal SPRM (ACTS) telah melakukan penggeledahan di kediaman Tan Sri berkenaan sejak pukul 9 pagi semalam dan selesai pada pukul 1.30 pagi tadi.
Penggeledahan itu difahamkan telah dilakukan di beberapa unit rumah yang terdapat di kawasan sekitar kediaman utama tersebut.
Sepanjang proses itu, SPRM dipercayai telah melakukan sitaan pelbagai barangan mewah namun tiada pengesahan lanjut.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubung Utusan Malaysia mengesahkan mengenai penangguhan merakam keterangan berkenaan.
Beliau memaklumkan, doktor yang merawat Tan Sri itu mengeluarkan laporan perubatan yang mengesahkan keadan beliau tidak mengizinkannya untuk meneruskan proses keterangan buat masa ini.
“SPRM akur dengan penilaian perubatan tersebut dan menghormati saranan doktor. Rakaman keterangan akan dijadualkan semula setelah beliau benar-benar pulih (minggu depan).
“Proses merakam keterangan beliau semalam hanya sempat dilakukan kira-kira dua hingga tiga jam sebelum dinasihatkan doktor mengenai keadaan kesihatannya,”katanya di sini.
Ditanya sama ada terdapat sitaan terbaharu membabitkan Tan Sri berkenaan, Azam memberitahu akan memakluman kemudian.-UTUSAN