KUANTAN: Isu penyalahgunaan dadah, jenayah siber dan perjudian secara dalam talian serta pemerdagangan manusia merupakan cabaran utama di rantau ASEAN dan memerlukan pendekatan bersepadu oleh negara anggota.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, tiga perkara itu saling berkait dan memerlukan tindakan kolektif untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat
“Namun, dadah akan kekal sebagai fokus utama kerana ia bukan sahaja merosakkan individu, malah turut memusnahkan institusi keluarga dan masyarakat,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Majlis Penasihat AIPA Mengenai Dadah Berbahaya (AIPACODD) kelapan di sini hari ini.
Menurut Johari, pemerdagangan manusia turut menjadi isu kritikal kerana ia menjejaskan keselamatan negara serta mencemarkan imej di peringkat antarabangsa.
“Masalah dadah bukan sekadar jenayah, tetapi menjadi punca kepada pelbagai masalah sosial lain termasuk jenayah kekerasan dan kemerosotan nilai masyarakat.
“Kita tidak mahu ia menjadi normalisasi dalam masyarakat, tetapi perlu dilihat sebagai satu ancaman serius yang memerlukan tindakan tegas dan menyeluruh,” ujarnya.
Mengulas tentang hukuman gantung, Johari berkata, langkah itu sahaja tidak mencukupi untuk menangani masalah dadah secara tuntas, sebaliknya pendekatan lebih konstruktif seperti rawatan dan pemulihan juga perlu diberi perhatian.
“Penagih dadah ini mungkin juga pesakit, bukan semata-mata penjenayah. Maka, perundangan dan dasar harus digubal berdasarkan data dan pendekatan yang lebih menyeluruh,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau memetik laporan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Dadah dan Jenayah (UNODC) yang merekodkan rampasan 236 tan dadah haram di Asia Timur dan Asia Tenggara pada 2024, meningkat 24 peratus berbanding tahun sebelumnya.
UNODC turut melaporkan penipuan siber menjana hasil jenayah antara AS$18 bilion hingga AS$37 bilion sepanjang tahun lalu, manakala Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menganggarkan lebih 11 juta individu menjadi mangsa pemerdagangan manusia di rantau Asia Pasifik-satu angka yang menggambarkan kos kemanusiaan di sebalik jenayah berkenaan.
Johari turut memaklumkan bahawa resolusi yang diluluskan dalam mesyuarat kali ini akan dijadikan panduan oleh setiap negara anggota dalam memperkukuh usaha membanteras isu-isu terbabit.
Katanya, mesyuarat kali ini turut mengangkat tema “Uniting Parliamentarians for an Inclusive and Sustainable ASEAN in Addressing Contemporary Drug Challenges” yang memberi penekanan terhadap usaha kolektif memerangi ancaman dadah yang semakin serius. – UTUSAN