Contohi Jepun naik taraf projek JRTB

Contohi Jepun naik taraf projek JRTB

KEADAAN terkini lokasi nahas meragut 15 nyawa pelajar UPSI di JRTB yang sudah dibersihkan ketika tinjauan baru-baru ini. – UTUSAN/FADZIL ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pembangunan semula dan penaiktarafan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli memerlukan reka bentuk penjajaran yang lebih selamat seperti pembinaan jejambat, terowong pendek, lorong kecemasan serta laluan khusus untuk kenderaan berat.

Profesor Adjung di Universiti UCSI, Dr. Mohd. Muzzammil Ismail berkata, satu kajian geoteknikal mendalam bagi me­ngenal pasti kawasan berisiko perlu dilakukan kerana masalah utama di laluan tersebut adalah ancaman tanah runtuh serta keperluan sistem saliran berkesan untuk mengelak hakisan.

Katanya, pembinaan itu boleh dilakukan kerana Jepun menjadi contoh terdekat yang menghadapi cabaran geografi hampir sama dengan Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jepun menggunakan tek­nologi pemantauan cerun ber­asaskan sensor IoT untuk mengesan awal sebarang pergerakan tanah. Negara itu juga banyak membina terowong dan jejambat bagi mengurangkan pemotongan cerun yang secara tidak langsung dapat menjaga keseimbangan ekologi.

“Kanada juga membina lintasan khas untuk hidupan liar lengkap dengan pagar kawalan bagi mengelak kemalangan antara haiwan dan pengguna jalan raya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Baru-baru ini, Kerajaan Ne­geri Perak memaklumkan tentang keperluan menaik taraf JRTB Gerik-Jeli yang bakal melibatkan kos yang tinggi.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, JRTB yang berusia lebih 40 tahun kini dimamah usia dan tidak lagi boleh diselesaikan dengan hanya menampal segala kerosakan.

Pakar perancang bandar itu turut menekankan keperluan pelebaran dan jajaran baharu bagi laluan JRTB memandang­kan infrastruktur sedia ada dibina lebih empat dekad lalu.

Jelasnya, reka bentuk sekarang sudah tidak bersesuaian dengan jumlah kenderaan berat yang meningkat saban tahun.

“Banyak selekoh tajam yang menjadi ‘hotspot’ kemalangan. Pelaburan ini penting untuk jangka panjang bagi mengurangkan kadar kemalangan, memastikan kelancaran trafik dan mempercepatkan jaringan logistik antara pantai timur dan barat.

“Kosnya mungkin tinggi, tetapi tidak semestinya perlu dibiayai oleh pihak kerajaan sahaja. Kita boleh laksana pendekatan perkongsian awam-swasta (PPP),” katanya.

Mengulas aspek penyelenggaraan sekiranya infrastruktur baharu dibina kelak, Mohd. Muzzammil berkata, kerajaan perlu membuat pelaburan dalam penyelenggaraan pintar yang berasaskan teknologi.

Sebagai contoh, katanya, pemasangan kamera pemantauan dan sistem amaran awal untuk mengesan pergerakan tanah bawah permukaan amat penting dalam memastikan keselamatan pengguna serta ketahanan struktur jangka panjang.

“Jabatan Kerja Raya (JKR) pastinya lebih arif dalam memilih bahan binaan yang tahan lama, mesra alam sekitar dan menjimatkan kos daripada aspek kelestarian jangka masa panjang.

“Korea Selatan telah mengaplikasikan sistem penyelenggaraan jalan pintar yang menggunakan sensor, dron serta kamera thermal bagi memantau keadaan jalan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini