KUALA LUMPUR: Calon Bebas Parlimen Batu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Cleopatra atau nama sebenarnya Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin memohon untuk menjadi ahli PAS.
Beliau menyerahkan borang keahlian PAS di pejabat sayap wanita PAS itu tengah hari semalam disaksikan Ketua Dewan Muslimat, Nuridah Mohd. Salleh.
Nuridah berkata, keputusan menyertai parti itu dilakukan demi masa depan anak-anaknya.
“Beliau yang juga seorang ibu tunggal sebelum ini pernah menyuarakan hasrat untuk mengenali PAS dengan lebih dekat dan menyatakan kesediaan mengikuti tarbiyyah parti,” kata Dewan Muslimat PAS dalam kenyataan di Facebook.
Cleopatra aktivis yang aktif dalam kerja amal dan pengasas badan bukan kerajaan (NGO) Hetero Action Women Alliance (HAWA) yang memperjuangkan hak wanita dan masyarakat, beliau memainkan peranan sebagai seorang pempengaruh media sosial yang menjadikan suaranya penting dalam memperjuangkan isu sosial dan pembangunan komuniti.
Pada PRU15, 2022 beliau bertanding atas tiket Bebas di Parlimen Batu dalam PRU15 yang menyaksikan pertembungan antara 10 calon, iaitu yang paling ramai pada PRU berkenaan.
Beliau pertama kali mencuba nasib bagaimanapun tewas selepas kerusi Parlimen itu dimenangi penyandangnya, P Prabakaran daripada Pakatan Harapan (PH).
Nuridah berkata, Dewan Muslimat PAS mengalu-alukan penyertaan beliau dan seluruh wanita sebagai ahli keluarga PAS malah parti itu sekian lama konsisten mengambil cakna terhadap kebajikan golongan yang memerlukan seperti orang miskin, orang kurang upaya (OKU), warga emas, ibu tunggal dan anak yatim.
Penyertaan beliau sebagai langkah strategik dalam memperkukuh peranan politik wanita di Malaysia dan memperjuangkan kesejahteraan masyarakat. – UTUSAN