SHAH ALAM: Penyanyi, Datuk Nora Ariffin, 52, mengakui tidak mampu meramalkan pengakhiran episod keretakan rumah tangganya dengan suami, Dr Rushdi Ramli.
Menurut penyanyi lagu Naluri dan Di Persimpangan Dilema ini, dia sebaliknya memilih untuk menyerahkan segala penentuan itu kepada pihak mahkamah.
“Saya tak tahu (perceraian atau tidak), tak berani nak cakap. Saya hanya buat apa yang saya rasa patut.
“Saya hanya serahkan kepada mahkamah, apa yang penting saya hanya buat yang terbaik. Sudah berdoa dan cuba usaha sebelum ini tapi tak jalan juga,” katanya ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini.
Tambahnya lagi, beliau percaya mahkamah adalah tempat terbaik untuk menentukan segala keputusan berkaitan isu yang sedang dihadapinya bersama suami.
“Jadi perlu ada mahkamah yang akan menilai dan jadi ‘pengadil’,” ujarnya ringkas.
Selain itu, Nora turut menegaskan dia dan suaminya telah mencuba sehabis baik untuk menyelamatkan perkahwinan mereka, namun tiada jalan penyelesaian ditemui.
“Sekarang saya hanya berserah sahaja kerana sudah buat apa patut, ikut prosedur, undang-undang dan kita ikut sahaja apa yang dilalui ini.
“Saya tak boleh terlalu emosi atau berlebihan. Sebagai manusia, saya dan suami sudah cuba sedaya upaya, tapi tak jumpa jalan penyelesaian.
“Maka, disebabkan itu kami datang ke mahkamah dan serahkan kepada mahkamah untuk menilai secara baik dan lebih beretika,”katanya.
Dalam masa sama, peguam kepada Nora iaitu Siti Zulaikha menjelaskan, mahkamah menetapkan sebutan semula kes tersebut pada 6 Ogos.
Terdahulu, Nora melantik kakak angkatnya, Rafeah Ariffin sebagai Jawatankuasa Pendamai (JKP) bagi mewakilinya di mahkamah.
Pada 12 Ogos tahun lalu, krisis rumah tangga Nora dan Rushdi menjadi topik hangat dalam laman sembang.
Perkongsian Nora dalam Instagram (IG) pada ketika itu yang memaparkan video Dr Rushdi melafazkan cerai terhadapnya, mengejutkan pelbagai pihak.
Rentetan itu, pelbagai dakwaan dilemparkan sehingga mendorong Nora memfailkan tuntutan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Petaling pada 21 April lalu.
Pada akhir 2021, Nora mengesahkan sudah bergelar isteri kepada Dr Rushdi yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul di sebuah universiti di ibu negara.
Nora mendirikan rumah tangga dengan komposer, Allahyarham Johan Nawawi pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata.
Namun, arwah Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun, akibat serangan jantung. -UTUSAN