CBP, Perkeso tawar perlindungan SKSSR kepada suri rumah - Utusan Malaysia

CBP, Perkeso tawar perlindungan SKSSR kepada suri rumah

KHAIRIL ANUAR MOHAMMAD ANUAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Co-opbank Pertama (CBP) menjalinkan kerjasama strategik bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menawarkan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) di semua cawangan CBP sebagai rakan promosi rasmi.

Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata, inisiatif itu memperkukuh komitmen CBP dalam membangunkan kesejahteraan sosioekonomi masyarakat menerusi penyediaan akses kepada perlindungan sosial yang menyeluruh dan relevan dengan keperluan semasa.

Katanya, kerjasama yang dimulakan sejak Februari lalu bertujuan memperluas capaian perlindungan keselamatan sosial khususnya kepada golongan suri rumah dalam kalangan pelanggan wanita CBP.

“SKSSR diwujudkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 bagi melindungi suri rumah yang mengalami kecederaan, penyakit atau keilatan ketika menguruskan rumah tangga.

“Suri rumah warganegara Malaysia atau pemastautin tetap berusia 55 tahun ke bawah layak mencarum dengan manfaat perlindungan seperti faedah perubatan, faedah hilang upaya kekal, elaun keuzuran dan kemudahan pemulihan jasmani atau dialisis.

“Caruman tahunan serendah RM120 boleh dibayar oleh diri sendiri, suami, ahli keluarga atau mana-mana pihak ketiga terlebih dahulu (in advance) untuk perlindungan selama setahun,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, sebagai rakan promosi rasmi, CBP akan membantu menyalurkan maklumat dan kemudahan pendaftaran SKSSR di semua cawangannya di seluruh negara.

“CBP turut merancang melaksanakan kempen promosi secara berterusan menerusi media sosial bagi memperluas kesedaran berhubung kepentingan perlindungan sosial dalam kalangan suri rumah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN