Caprice beri ‘bayangan’ siapa penyanyi rap ditahan di Laos - Utusan Malaysia

Caprice beri ‘bayangan’ siapa penyanyi rap ditahan di Laos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Susulan penahanan seorang penyanyi rap tempatan di Laos atas cubaan menyeludup dadah jenis ganja ke Jerman bulan lepas, pempengaruh popular, Caprice, memberi gambaran bahawa individu terbabit merupakan salah seorang anggota kumpulan berasal dari Johor Baharu.

Menerusi perkongsian di instagramnya, Caprice atau nama sebenarnya, Ariz Ramli, sengaja meletakkan lagu berjudul Lotus daripada kumpulan Forceparkbois yang merupakan antara lagu popular daripada kumpulan berkenaan.

Merujuk kepada ‘klu’ yang diberikan oleh Caprice menerusi video dengan tangkap layar berita mengenai isu tersebut, rata-rata pengikutnya seakan dapat meneka artis yang cuba dimaksudkan.

Pada masa yang sama, ada antara warganet meluahkan rasa terkejut kerana penyanyi rap yang ditahan di Laos itu sanggup memperjudikan nasib diri untuk melakukan jenayah itu.

Perkara itu mendapat respons daripada Caprice di ruangan komen yang turut terkejut dengan jumlah berat ganja yang cuba diseludup oleh artis terbabit.

“Gila berani, idea siapalah ini,”tulisnya.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan seorang penyanyi rap tempatan telah ditahan bersama dua rakan lain di Laos dalam cubaan menyeludup 103 bungkusan ganja dengan berat keseluruhan berjumlah 86 kilogram.

Difahamkan, penyanyi yang juga anggota sebuah kumpulan rap tanah air itu ditahan sejak 27 Mei lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay selepas disyaki cuba menyeludup dadah tersebut ke Jerman.

Menerusi satu laporan di Laos, dalam satu operasi melibatkan pegawai kastam, penguatkuasa lapangan terbang dan agensi berkaitan lain, ketiga-tiga individu itu ditahan semasa pemeriksaan rutin dijalankan.

Hasil pemeriksaan terhadap enam beg milik suspek, pihak berkuasa menemui 103 bungkusan ganja yang disembunyikan di dalam bagasi mereka, dengan jumlah keseluruhan kira-kira 86 kilogram.

Difahamkan, suspek sedang bersiap sedia untuk menaiki penerbangan Thai Airways menuju ke Jerman, di mana dadah tersebut dipercayai akan dihantar.

Pihak berkuasa mengesahkan bahawa ketiga-tiga suspek kini ditahan dan akan didakwa mengikut prosedur undang-undang Laos dengan siasatan masih diteruskan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN