14,000 doktor tiada sijil sah berkhidmat

14,000 doktor tiada sijil sah berkhidmat

KELEWATAN Majlis Perubatan Malaysia meluluskan Sijil Amalan Tahunan dikatakan menjejaskan lebih 14,000 para pengamal perubatan atau doktor di negara ini. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kelewatan Maj­lis Perubatan Malaysia (MMC) me­luluskan Sijil Amalan Tahunan (APC) 2026 boleh menje­jas­kan sektor perkhidmatan ke­si­hatan negara.

Kelewatan itu menyebabkan lebih 14,000 doktor dilaporkan berkhidmat secara tidak sah.

Dianggarkan lebih 70,000 doktor dan mengamal peruba­tan perlu memperbaharui APC pada tahun ini.

Kelewatan tersebut menim­bul­kan kebimbangan serius ke­ra­na APC me­­rupakan sijil rasmi yang di­perlukan oleh setiap pengamal perubatan berdaftar untuk ber­khid­mat secara sah di negara ini.

Tanpa APC yang sah, doktor dan mana-mana pengamal perubatan tidak dibenarkan menawarkan sebarang perkhidmatan perubatan termasuk merawat pesakit, berunding dan memberi preskripsi ubat.

Bagi doktor swasta pula, hospital dan klinik tidak dibenarkan mengambil mana-mana doktor atau pengamal perubatan tanpa APC kerana ia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Perubatan 1971 dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Jurucakap Hartal Doktor Kontrak (HDK) yang turut berdepan masalah tersebut berkata, permohonan APC 2026 beliau pada 20 November lalu sehingga kini belum diluluskan sedangkan kebiasaan kelulusan hanya mengambil masa antara satu hingga dua minggu.

Apa yang mengejut katanya, pihaknya dimaklumkan ribuan permohonan pembaharuan APC 2026 masih belum diluluskan dan berada dalam status ‘semakan’ sejak pertengahan November 2025.

“Dalam satu kumpulan Facebook yang melibatkan pengamal perubatan am, ribuan doktor melaporkan mereka masih belum menerima APC 2026,” katanya kepada Utusan Malaysia.

“Permohonan APC dibuka sepanjang tahun dan pengamal perubatan yang telah mencapai 20 mata Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) boleh memohon APC bagi tahun berikutnya.

“Bagaimanapun, permohonan perlu dikemukakan sebelum 30 November 2025 bagi mengelakkan denda.

“Proses pembaharuan APC lazimnya mengambil masa satu hingga dua minggu sahaja dan dijalankan sepenuhnya secara dalam talian melalui portal MeRITS MMC.

“Setakat ini, tiada pengamal perubatan dikenakan tindakan walaupun APC belum diluluskan, tetapi isu medikolegal boleh menjejaskan pihak pengamal kerana insurans berpotensi menolak tuntutan pesakit atas alasan doktor yang mengeluarkan surat tiada atau APC mereka telah tamat tempoh,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr. Thirunavukarasu Rajoo berkata, mengamalkan perubatan tanpa APC yang sah merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 20(1) Akta Perubatan 1971 walaupun telah memenuhi semua syarat pembaharuan.

Beliau berkata, bagi pengamal am swasta, APC yang sah adalah prasyarat undang-undang untuk berunding, menulis preskripsi dan beramal.

“Bagi pakar swasta pula, hospital dan institusi perubatan menuntut APC yang sah kerana pendedahan medikolegal yang tinggi termasuk liabiliti vikarius di mana institusi boleh dipertanggungjawabkan sekiranya doktor yang tidak berlesen beroperasi di fasiliti mereka.

“MMC perlu memberi jaminan doktor yang mengemukakan semua dokumen diperlukan termasuk mata CPD dan pembayaran fi boleh terus beramal tanpa penalti.

“Semua APC perlu dikeluarkan menjelang 31 Januari 2026. Kenyataan jelas serta surat interim daripada MMC dapat melindungi pengamal perubatan,” katanya.

Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM), Dr. G. Shanmuganathan pula berkata, pengamal perubatan berdaftar diwajibkan memohon APC dalam tempoh yang ditetapkan antara Julai hingga November setiap tahun, mengikut Seksyen 20 Akta Perubatan 1971 dan sekiranya lewat, mereka boleh dikenakan denda.

Katanya, pengamal perlu memenuhi syarat berkaitan termasuk mata CPD serta pembayaran fi dan setelah syarat dipenuhi, pendaftar MMC bertanggungjawab memproses serta mengeluarkan APC.

“Prinsip asas undang-undang pentadbiran menetapkan kewajipan statutori perlu dilaksanakan secara munasabah dan dalam tempoh wajar.

“Kelewatan pentadbiran apabila bukan berpunca daripada pemohon tidak seharusnya menjejaskan pihak yang mematuhi undang-undang,” katanya.

Sementara itu, MMC dalam kenyataan di laman web­nya memaklumkan, mereka kini menerima jumlah permohonan yang sangat tinggi untuk APC, menyebabkan proses kelulusan mengambil masa lebih panjang.

“Semua pengamal perubatan diminta bersabar sementara menunggu proses kelulusan sijil APC masing-masing.

“Untuk makluman, mana-mana pengamal perubatan yang telah berjaya membuat bayaran permohonan APC sebelum 1 Disember 2025 tidak akan dikenakan sebarang denda.

“MMC turut menghargai kerjasama serta kesabaran semua pihak sepanjang tempoh proses kelulusan tersebut,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN