Busana penting, tapi sistem bunyi pun kena padu - Utusan Malaysia

Busana penting, tapi sistem bunyi pun kena padu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam keghairahan mana-mana artis termasuk penganjur mengadakan sesebuah konsert, ramai kalangan penggiat seni terutama penyanyi kini seakan gemar meletakkan keutamaan kepada aspek visual dramatik ketika beraksi di pentas.

Merujuk kepada penggayaan busana yang kelihatan gah dan avant-garde contohnya, perkara itu seakan telah menjadi satu kemestian bagi mana-mana penyanyi yang ingin membuat persembahan konsert.

Tiada salahnya. Tetapi pandangan itu kurang dipersetujui oleh penyanyi bertaraf legenda tanah air, Anuar Zain, yang berpendapat bahawa seluruh ekosistem perlu diseimbangkan bagi menyediakan satu persembahan konsert yang dilihat sempurna.

Pada fikiran penyanyi ini, kualiti muzik dan sistem bunyi yang unggul harus menjadi aspek keutamaan dalam sesebuah pembikinan konsert dan bukan sekadar persembahan visual yang gah untuk disaji kepada penonton.

“Sebenarnya, keutamaan penyanyi itu harus kepada menyajikan sebuah persembahan yang bermutu. Ini merangkumi semuanya, dari segi muzik, pencahayaan, sistem bunyi,semuanya sangat penting.

“Benar, busana juga sangat penting. Ia bergerak seiring dalam sesuatu persembahan. Orang bukan sahaja nak dengar, tapi juga nak melihat visual. Dari perspektif saya, busana itu sebenarnya melambangkan karakter artis itu sendiri.

“Ia turut mencerminkan lagu yang dipersembahkan dan konsep kehidupan artis tersebut, cara hidupnya, personalitinya, pemilihan lagunya dan juga kerjanya.

“Dari situ, orang boleh mendapat gambaran tentang siapa mereka sebenarnya. Jadi, bagi saya, muzik sebenarnya tidak boleh dipisahkan daripada fesyen,”katanya.

Jelas penyanyi Keabadian Cinta ini, sistem bunyi yang berkualiti tinggi bukan sahaja memastikan kejelasan vokal dan muzik, malah mencipta satu pengalaman emosi yang menyentuh hati penonton.

“Saya percaya muzik yang indah dan padu perlu ‘cair’ ke telinga dan sampai ke hati setiap pendengar dan penonton sekali gus menjadikan pengalaman konsert bukan sekadar hiburan mata, tetapi juga jiwa.

“Saya nak bila orang muat naik video di platform media sosial, mereka boleh dengar semuanya dengan jelas, dari segi muzik, vokal, segalanya harmoni.

“Kita tak boleh ‘menipu’ penonton. Mereka bayar mahal, kita mesti beri kualiti,” tegasnya.

Konsert Empat
Dalam pada itu, Anuar juga meluahkan rasa teruja untuk melakukan persembahannya di pentas konsert Empat Live In Kuala Lumpur 2025 yang akan menampilkan dirinya bersama ‘anak-beranaknya’ yang lain iaitu kakaknya, Ziana Zain, Ernie Zakri dan Syamel.

Bakal berlangsung pada 18 Oktober 2025 di Mega Star Arena Kuala Lumpur, ia bukan sekadar sebuah konsert tetapi perlambangan cinta, kasih dan sayang serta silaturrahim empat bakat terhebat Malaysia.

“Ini adalah sebuah projek yang sangat mengujakan kerana tidak ada salah seorang pun daripada kami pernah terfikir bahawa pada akhirnya takdir membawa kami iaitu saya dan kakak, Ziana serta anak buah kami, Ernie dan suaminya, Syamel akan terlibat dalam industri yang sama sebagai penghibur.

“Sebenarnya konsert ini telah lama dirancang, boleh dikatakan sejak dua tiga tahun yang lalu. Namun melihatkan jadual kerja yang padat serta komitmen ke semua penyanyi yang terlibat, pihak penganjur dan pengurusan perlu mencari masa yang tepat dan sesuai untuk melaksanakan konsert ini.

“Konsert ini bukan tentang kami tapi tentang ikatan kekeluargaan, bakat yang diraikan dan cara kami menghargai sokongan peminat daripada semua generasi terhadap karya-karya yang pernah dan bakal dilahirkan.

“Kami dengan rendah hati berharap agar semua peminat dapat menikmati Empat Live In Kuala Lumpur 2025 dengan ‘semangat cinta dan kasih sayang’ yang besar untuk satu sama lain,” ujarnya.

Konsert anjuran Anuar Zain Network itu akan mendapat sentuhan Jennifer Thompson sebagai pengarah konsert, manakala Sze Wan pula sebagai pengarah muzik.

Tiket-tiket berharga RM288 (Bronze), RM388 (Silver), RM488 (Gold), RM688 (Platinum), RM888 (Diamond), RM1,088 (VIP) dan RM2,088 (Royal Twin Seat – dua tiket) sudah boleh didapati menerusi https://www.ticket2u.com.my/empatkl mulai 25hb April 2025 jam 10.00 pagi.

Istimewa buat golongan kelainan upaya (OKU), anda boleh membuat pembelian menerusi talian khas hotline +6011-1190 0518.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN