PETALING JAYA: Gejala buli dalam kalangan pelajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bukan identiti institusi pendidikan itu dan akan dibanteras sehingga ke peringkat akar umbi.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Mara akan menetapkan sasaran ‘Sifar Buli’ di semua MRSM supaya budaya toksik seperti itu tidak lagi berlaku sekali gus dihapuskan segera.
“Saya amat kecewa dan dukacita apabila mendengar ada insiden buli di maktab ini. Ini bukan budaya kita. Ini bukan DNA MRSM.
“Mengambil peluang berjumpa dengan anak-anak pelajar di surau dan titipkan beberapa pesanan dan peringatan kepada mereka. Budaya buli ini langsung tidak mencerminkan nilai Ulul Albab, sahsiah MARA dan prinsip pendidikan yang kami perjuangkan.
“Di MARA, kami tekankan prinsip You Touch, You Go bagi sesiapa yang terlibat dalam kes buli secara langsung atau bersubahat dan tidak akan ada tolak ansur.
“MRSM bukan sekadar tempat menimba ilmu, tetapi medan pembentukan akhlak, jatidiri dan kepimpinan masa depan negara. Kita tidak boleh benarkan satu insiden mencemar keseluruhan institusi yang merupakan medan melahirkan kepimpinan masa hadapan negara,” katanya di Facebook, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menerjah ke MRSM Besut tanpa pengetahuan pihak pengurusan maktab bagi meninjau sendiri maktab yang terkait dengan insiden buli beberapa hari lalu. – UTUSAN