Fentanil antara dadah dirampas dalam enam operasi

Fentanil bernilai RM30.7 juta antara dadah dirampas dalam enam operasi

Fentanil
HUSSEIN Omar Khan menunjukkan dadah fentanil di dalam tong ketika dibawa masuk ke negara ini serta bungkusan lain bagi kegunaan cecair vape dan pil, pada sidang akhbar JSJN dekat Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Fentanil seberat hampir satu tan metrik antara yang dirampas polis bersama lebih 700 kilogram dadah lain dalam enam siri operasi khas antara Ogos dan awal bulan ini.

Dadah sintetik baharu itu dikesan dalam Operasi (Op) Black Ash yang didakwa dibawa masuk dari sebuah negara timur ke Malaysia melalui Pelabuhan Klang sebelum dikesan dan dirampas pada 19 Ogos lalu di sekitar Negeri Sembilan dan Melaka.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Hussein Omar Khan berkata, dadah terbabit yang dirampas dalam bentuk cecair dan sebuk bernilai RM30.7 juta.

Menurutnya, dadah tersebut dibawa masuk ke negara ini menggunakan kontena yang diisytihar sebagai barang lain sebelum diambil oleh sebuah syarikat logistik di pelabuhan berkenaan untuk dihantar kepada dua sindiket.

“Pengedaran dadah tersebut melibatkan sindiket antarabangsa dan tempatan. Bila sampai di Malaysia ia diberikan kepada dua sindiket berbeza.

”Dadah tersebut juga dipercayai untuk diproses sebelum diedarkan bagi kegunaan di negara ini dan juga dieksport ke negara lain termasuk negara jiran. Jika diedar di negara ini, ia boleh digunakan oleh dua juta pengguna.

“Sebelum sampai kepada pengguna, ia dipercayai akan menjadi bahan utama vape (rokok elektronik) bagi cecair. Dalam bentuk serbuk pula akan dijadikan pil,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Hussein berkata, dadah tersebut digeruni di negara-negara barat termasuk Amerika Syarikat dan Kanada kerana ia memberi kesan lebih 100 kali ganda berbanding dadah biasa, malah lebih 67 peratus kes kematian dilaporkan akibat pengambilannya.

“Fentanil sebelum ini digunakan dalam bidang perubatan sebagai pain killer (ubat tahan sakit) yang lebih kuat berbanding morfin,” tambahnya.

Selain itu, beliau memberitahu dadah lain yang dirampas dalam lima lagi operasi termasuklah pil dan serbuk ekstasi, ketamin, cecair dan serbuk Metil​ena Dioksi​ Metamfetamina (MDMA), pil erimin, metamfetamin, heroin, heroin base dan kafein.

“Secara keseluruhannya, dalam keenam-enam operasi iaitu Op Black Ash, Black Wood, Ceylon, Blackbutt, Black Birch dan Cengal, keseluruhan dadah dirampas adalah bernilai RM54.18 juta.

“Polis menangkap keseluruhan 24 individu terdiri daripada 17 lelaki dan seorang wanita tempatan, enam lagi adalah empat lelaki dan dua wanita warga asing berusia 19 hingga 55 tahun. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.

Kata Hussein lagi, kejayaan rampasan dadah dan tangkapan tersebut adalah berdasarkan risikan selama beberapa bulan antara JSJN dan orang awam serta negara terbabit melalui agensi narkotiknya.

”JSJN komited memerangi dadah demi melindungi generasi sekarang dan masa depan. Dadah adalah musuh nombor satu negara dan orang ramai boleh menyalurkan maklumat melalui talian Hotline JSJN 012-2087222,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN