KUALA LUMPUR: Enam pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Besut yang terlibat kes buli seorang pelajar Tingkatan Dua sehingga cedera sudah diarahkan untuk dibuang dari institusi berkenaan.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau telah mengarahkan Bahagian Pendidikan Menengah MARA untuk tidak berkompromi dalam hal berkenaan walau apa juga alasannya.
Katanya, beliau telah berulangkali menegaskan bahawa tiada tempat bagi pembuli di mana-mana MRSM.
“Apa jua alasan tidak sesekali menghalalkan perbuatan memukul atau apa jua bentuk perbuatan fizikal yang boleh mencederakan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Semalam, media melaporkan seorang pelajar Tingkatan Dua sebuah MRSM Besut mendakwa dibuli sekumpulan pelajar senior di asrama Putera pada malam Selasa lalu, sehingga mengalami kecederaan di perut, rusuk dan belakang badan.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad @ Abu, dipetik berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 6.48 petang kelmarin.
Berdasarkan keterangan mangsa lelaki berusia 14 tahun, Azamuddin berkata, pelajar itu mendakwa dibuli dengan diarahkan membuat kedudukan separa mencangkung dan diletakkan selipar di atas kepala selama 40 minit, kira-kira pukul 11.30 malam.
Katanya, mangsa juga mendakwa ditumbuk di bahagian perut dan ditampar oleh beberapa pelajar Tingkatan Tiga ketika berada di asrama Putera.
Kejadian itu disedari oleh warden yang bertugas sebelum membawa mangsa dan suspek ke pejabatnya. – UTUSAN










