PETALING JAYA: Bot terbalik yang meragut nyawa tiga individu termasuk seorang kanak-kanak serta pasangan suami isteri yang masih hilang di Perairan Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang semalam, dipercayai sedang diuji pandu.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, bot berkenaan milik salah seorang mangsa.
“Semakan mendapati mangsa yang masih belum ditemukan, dipercayai sedang menguji pandu bot yang baru dibaiki sebelum kejadian.
“Bot ini dipandu uji dari Royal Selangor Yacht Club, Kawasan 14, Pelabuhan Klang,” katanya di sini.
Kata beliau, berdasarkan maklumat awal, bot itu rosak dan setelah dibaiki, mangsa memandu uji bot berkenaan dengan membawa bersama keluarga dan rakan.
Dalam pada itu, usaha mencari dan menyelamat dua mangsa yang masih hilang sedang dijalankan Maritim Malaysia.
Turut membantu operasi adalah Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis dan Angkatan Pertahanan Awam.
Sebelum ini, dilaporkan, tiga individu termasuk seorang kanak-kanak maut manakala pasangan suami isteri hilang apabila bot dinaiki terbalik dalam kejadian di perairan Tanjung Harapan dekat sini.
Mangsa yang masih hilang dikenali sebagai Gan Hon Tat, 32 dan isterinya Careen Man, 29, kedua-duanya berasal dari Klang Utama.
Sementara itu, mangsa yang maut dalam insiden itu Darren Gan, 3, anak kepada pasangan yang hilang, serta Cheu Son Hin, 50, masing-masing ditemukan dalam ruang hadapan bot.
Turut terkorban, Fong Yong Sen, 29, rakan kepada pasangan berkenaan, yang turut dijumpai meninggal dunia di lokasi kejadian.-UTUSAN