PETALING JAYA : Isteri kepada pemilik bot terbalik di Perairan Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang semalam hanya mengetahui kejadian menimpa suaminya, Cheu Son Hin petang semalam.
Isterinya yang mahu dikenali Hung berkata, sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kejadian kira-kira pada pukul 6 petang, dia segera bergegas ke lokasi untuk mendapatkan maklumat terkini.
Kata Hung, suaminya pergi ke Kelab Layar Diraja Selangor untuk menguji bot laju tersebut namun tidak menyangka insiden ini berlaku.
“Semasa ujian pelayaran pertama, tiada sebarang masalah namun semasa ujian kedua kemalangan itu terjadi,” katanya di sini.
Dalam pada itu, ahli keluarga kepada seorang lagi mangsa Fong Yong Sen memaklumkan anak saudaranya telah ikut serta ke laut bersama pemilik bot dan pekerjanya.
Individu itu yang juga mahu dikenali sebagai Hung berkata, kejadian yang berlaku ini sudah pasti adalah sesuatu yang sukar untuk diterima.
Menceritakan mengenai kejadian, Hung berkata, mayat anak saudaranya pada mulanya telah timbul di permukaan laut sebaik kemalangan itu berlaku.
“Namun pekerjanya yang terselamat telah mengikat tubuhnya bersama mayat anak saudaranya bagi mengelak mangsa dihanyutkan arus deras untuk diselamatkan ke darat.
“Kami masih belum mendapatkan gambaran sebenar apa yang berlaku daripada pekerja itu.Buat masa ini, kami hanya mahu dia berehat secukupnya dan selebihnya akan dibincangkan kemudian,” jelasnya.
Dalam pada itu, Hung berkata, keluarganya masih dalam tindakan menuntut mayat mendiang anak saudaranya bagi tujuan pengebumian.-UTUSAN