PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) mempersoalkan tujuan Parti Bersatu Sabah (PBS) mengumumkan penolakan untuk bekerjasama dengan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, sedangkan tiada sebarang pelawaan rasmi pernah dibuat kepada parti itu.
Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyifatkan pengumuman pemangku Presiden PBS, Dr Joachim Gunsalam itu sebagai sandiwara politik.
Beliau berkata, BN tidak pernah menjemput bekas parti komponennya itu untuk bekerjasama.
“PBS tidak perlu menolak sesuatu yang tidak pernah ditawarkan. BN Sabah tidak pernah, pada bila-bila masa pun, menghulurkan jemputan kerjasama kepada PBS untuk kembali atau bekerjasama.
“Jadi persoalannya apa sebenarnya yang anda tolak, Datuk Joachim? Ini nampaknya satu lagi episod khayalan politik.
“Anda tidak boleh menolak sesuatu yang tidak pernah ditawarkan. Tolonglah, jangan perasan,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Joachim mendedahkan bahawa majoriti Ahli Majlis Tertinggi (AMT) parti itu menolak untuk menjalin kerjasama dengan UMNO dan BN dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa PBS akan terus kekal bersama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk PRN tersebut.
Menurut beliau, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat AMT PBS yang turut membincangkan pelbagai isu penting dan hala tuju strategik parti.
“Pendirian kami jelas. PBS akan terus bekerjasama dalam gabungan GRS. Kami komited terhadap kerjasama politik ini menjelang PRN17.Namun dalam masa sama, majoriti AMT tidak bersetuju untuk bekerjasama dengan UMNO dan BN,” katanya.
Joachim turut menegaskan komitmen parti untuk terus memperkukuh hubungan dan kerjasama bersama komponen GRS lain, iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang dipimpin Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan. – UTUSAN










