Bila filem tak laku, jangan mudah tuding jari - Utusan Malaysia

Bila filem tak laku, jangan mudah tuding jari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERITA baiknya, tahun ini lebih ramai pengarah baru hadir dengan filem debut mereka merangkumi pelbagai genre dan gaya bercerita. 

Berita buruknya, tidak semua filem bernasib baik di panggung. Ada yang tidak berjaya memperoleh sekurang kurangnya RM1 juta kutipan atau gagal bertahan lama di panggung. 

Walaupun kebanyakan filem ini memperoleh Skim Wajib Tayang, iaitu sebuah usaha Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) melindungi filem tempatan agar ditayangkan sekurang kurangnya dua minggu di pawagam, namun ada juga filem yang tidak melepasi syarat asas iaitu memperoleh sekurang kurangnya 15 peratus kehadiran penonton untuk tiga hari awal tayangan menyebabkan slot tayangan ditarik balik. 

Perkara ini sempat mencetuskan spekulasi juga perdebatan dalam kalangan peminat dan penggiat seni. 

Ketika sebuah filem itu tidak cemerlang di panggung, di mana salahnya? Sebagai orang lama, pengarah dan pelakon, Jawablah Nam Ron!

Adakah berlaku kepincangan dalam Skim Wajib Tayang membuatkan filem tempatan kita gagal bertahan lama di panggung berbanding filem luar? 

Begini, kita tidak boleh hendak halakan telunjuk menyalahkan sesiapa dalam isu ini. Sebab, saya bercakap begini pun berdasarkan pengalaman. Dulu, saya pun bising-bising juga tentang itu. Tapi bila difikir kembali, kita mahu salahkan Finas juga tidak boleh, mereka badan kerajaan. Mereka tidak boleh mencampuri urusan perniagaan syarikat lain. Lainlah kalau pawagam memang anak syarikat kerajaan, atau di negara kita memang mengamalkan sistem pentadbiran di mana kerajaan boleh campur tangan urusan syarikat korporat macam komunis atau sosialis.

Dalam kata lain, pengkarya juga kena faham Finas tidak bertanggungjawab mahu tanggung kerugian panggung, begitu? 

Kita kena tahu panggung punya keputusan pula, ia dibuat berdasarkan kepada jumlah sambutan penonton. Kalau sambutan makin berkurang hingga tiga hari, mereka kena kurangkan slot tayangan untuk bawa masuk filem lain yang mungkin mendapat lebih banyak sambutan. Itulah cerita yang berlaku sekarang ini. Kita tidak boleh hendak salahkan panggung sebab mereka ini buat bisnes. Mereka tidak boleh biar panggung kosong tiada orang lama-lama. Tidak balik modal pula. 

Apa yang pengkarya perlu buat atau tahu sebagai persediaan filem mereka ke panggung? 

Mereka kena tahu sasaran penonton mereka, juga jelas arah filem mereka. Adakah kita hendak hasilkan filem lengkap dengan struktur, bahasa, dan teorinya? Pendek kata, filem art house walaupun saya tak gemar guna perkataan itu. Jika mahu buat filem sebegitu, kita kena akur bahawa penontonnya sangat spesifik, sangat kecil. Selain itu, kita ada pilihan lain yang lebih komersial, filem sebagai produk niaga seperti Blood Brothers. Mereka pakai gaya Hollywood yang kita tahu akan mudah dapat sambutan. 

Selain itu, ada nasihat lain khusus untuk pengarah baru pula? 

Sekarang ini penonton kita agak kritikal. Maknanya mereka sangat memilih. Sebelum pergi mereka akan lihat pendapat orang lain dahulu. Ada juga yang pergi panggung kerana pengarah. Contohnya, Syafiq Yusof, ramai hendak pergi lepas tahu pengarahnya siapa. Pandangan saya, pengarah pun kena ada peminatnya. Bak kata orang, cipta fan base. Trend sekarang, kalau orang tidak kenal pengarah atau rumah produksi itu, mereka pun tidak mahu tonton. 

Pada pendapat abang, adakah memang sesebuah filem itu kena pilih salah satu? 

Maksudnya jika mahu jadi filem art tidak boleh jadi filem ‘hiburan’? Boleh gabung kedua-duanya, tetapi kena pilih mana satu lebih berat? Kita sudah ada filem yang membuktikan ia sebuah filem seni yang juga menghiburkan seperti Imaginur. Hiburannya tidak cincai, masih ada teori filem namun boleh dijual. Ia kisah anak dan ayah yang sangat dekat dengan penonton. Bila mereka tengok filem itu, mereka melihat sebuah refleksi. Mereka melihat diri mereka ketika dalam panggung. Kena ingat juga, tidak semua filem hiburan itu murahan. Buatlah filem yang menghiburkan tapi kualiti tidak cincai, bukan sekadar mahu kejar wang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN