Big Stage Alpha luaskan minda saya - Syafinaz Selamat - Utusan Malaysia

Big Stage Alpha luaskan minda saya – Syafinaz Selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi, Datuk Syafinaz Selamat, 52, menyifatkan rancangan Big Stage Alpha sebagai program pencarian bakat yang tidak klise dan berbeza dengan pertandingan yang dianjurkan sebelum ini.

Malah, Syafinaz selaku juri program berkenaan tertarik dengan rancangan terbitan Astro itu yang dibentuk dengan konsep lebih menarik dan segar.

“Sebagai juri, saya belajar banyak perkara baharu menerusi program ini. Berbanding pertandingan yang pernah saya jurikan sebelum ini, Big Stage Alpha membuka mata saya kepada elemen penjurian yang lebih berlainan.

“Saya tidak sekadar menilai vokal dan ekspresi ketika peserta membuat persembahan, tetapi juga menilai kualiti yang melayakkan mereka menjadi sebahagian kumpulan yang dibentuk menerusi  program ini. 

“Contoh, ada peserta yang menyanyi dengan baik, tapi visual dan pergerakan (tarian) mereka tidak selaras dengan ahli yang lain. Elemen penjurian itu agak baharu, yang mana pada saya menarik dan membuka minda selaku juri.

“Big Stage Alpha bukan pertandingan nyanyian yang sama dengan yang pernah kita tonton sebelum ini, bukan sekadar mencari penyanyi dengan vokal yang bagus,” katanya pada sidang media pentas akhir Big Stage Akhir yang berlangsung semalam.

Big Stage Alpha malam semalam menemui titik kemuncak dengan peserta, Ariel Fesol dimahkotakan sebagai juara.

Ariel atau nama sebenarnya Muhamad Fhazrill Fesol selesa di kedudukan teratas dengan markah 71.74 peratus sekaligus mengenepikan enam pencabar lain. Dia membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 dan trofi.

Naib Juara pula menjadi milik Ray-D yang membawa pulang RM20,000 berserta trofi, disusuli Rizal Rasid yang berpuas hati di tempat ketiga dengan membawa pulang RM10,000 dan trofi.

Dalam pada itu, Daniel Sher, Araff dan Izat Ibrahim yang mengisi tempat ke empat, lima dan enam dengan masing-masing pulang RM5,000 berserta trofi.

Afiq Sky pula tidak pulang tangan kosong apabila menduduki tempat ketujuh, membawa pulang RM3,000 dan trofi.

Mengulas mengenai kemenangan Ariel, Syafinaz menyifatkan dia layak berdasarkan persembahan yang baik secara individu dan berkumpulan.

“Sejak awal pertandingan ini lagi kita sudah nampak potensinya, tetapi tidak sepenuhnya. Cuma di pentas akhir ini dia menunjukkan potensi yang menyeluruh.

“Secara keseluruhannya, persembahan Ariel malam ini (semalam) sangat bagus berbanding minggu-minggu sebelumnya yang sedikit tidak konsisten. 

“Dia cukup bertenaga ketika membuat persembahan, cuma nasihat saya agar selepas ini dia selaraskan tahap tenaganya itu dengan ahli kumpulan yang lain,” kongsinya. 

Pentas Akhir Big Stage Alpha semalam menyaksikan ketujuh-tujuh peserta terpilih menganggotai kumpulan lelaki tempatan baharu yang dinamakan sebagai Alpha.

Syafinaz dalam masa sama berharap identiti kumpulan tersebut dapat dibentuk dengan elemen-elemen ketimuran agar tidak disamakan dengan kumpulan K-Pop sedia ada.

“Sebenarnya tidak timbul masalah untuk penubuhan kumpulan ini menginspirasikan kumpulan K-Pop kerana generasi sekarang terdedah dengan muzik dari Korea Selatan.

“Tapi, saya harap hala tuju muzik dan penampilan kumpulan Alpha dapat dibentuk dengan elemen tempatan yang boleh dimodenkan dengan kreativiti,” ulasnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN