KUALA TERENGGANU: Seorang bekas Penolong Juruukur Bahan di Majlis Perbandaran Dungun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan salah guna kuasa dengan mengesyorkan syarikat milik ibu bapanya mendapatkan perolehan kontrak pekerjaan, enam tahun lalu.
Tertuduh, Mohammad Hanif Ahmad,39, membuat pengakuan itu ketika peruduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu telah menggunakan kedudukannya sebagai ahli jawatankuasa penilaian tender dan sebutharga dengan mengesyorkan kepada Lembaga Sebutharga Majlis Perbandaran Dungun supaya Perniagaan Yusha Timur dipertimbang dan dipilih untuk kontrak pekerjaan, iaitu Cadangan Membina dan Menyiapkan Pusat Pemeliharaan Kucing Terbiar di Kawasan Taman Rimba Bandar Bukit Bauk, Dungun yang bernilai RM150,000.
Syarikat perniagaan milik ibu dan bapa tertuduh sendiri iaitu Noriah Mamat dan Ahmad Ibrahim itu kemudiannya telah dianugerahkan kontrak itu menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Sebutharga Majlis Perbandaran Dungun Kali Ke-2/2019 pada 9 Mei 2019.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh pada April dan Mei 2019. Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000.00 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan, dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan, dan perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah serta melapor diri pejabat SPRM terdekat setiap bulan sehingga kes selesai.
Mohd Azhar kemudiannya menetapkan 29 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN










