Bekas pemilik syarikat terima RM1 juta laksana kerja pembersihan tanpa kebenaran

Bekas pemilik syarikat terima RM1 juta laksana kerja pembersihan tanpa kebenaran

SPRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Siasatan awal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati seorang bekas pemilik syarikat telah menerima rasuah lebih kurang RM1 juta bagi tempoh 2019 hingga 2022.

Satu sumber mendedahkan, wang rasuah itu diperoleh selepas mengemukakan butir matan palsu kira-kira RM8.1 juta melibatkan penyediaan perkhidmatan sewaan mesin, fasiliti serta pelupusan sampah.

Kata sumber itu, wang hasil daripada aktiviti tipu itu digunakan untuk membiayai kos operasi syarikat, perbelanjaan peribadi harian dan pembayaran hutang.

“Sepanjang tempoh itu, kerja-kerja dilaksanakan syarikat itu dengan kerjasama syarikat kontraktor bagi kerja-kerja pengutipan sampah dan pembersihan awam.

“Namun, kerja-kerja dilaksanakan tanpa kebenaran dan persetujuan sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sumber menambah, siasatan masih dijalankan SPRM sebelum tindakan selanjutnya diambil.

Pada 27 Mei lalu, seorang bekas pemilik syarikat dan seorang bekas Ketua Pegawai Kewangan direman kerana disyaki mengemukakan butir matan palsu kira-kira RM8.1 juta melibatkan penyediaan perkhidmatan sewaan mesin, fasiliti serta pelupusan sampah.

Kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 40 hingga 50-an telah ditahan kira-kira pukul 6.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

Kedua-dua suspek dipercayai terlibat rasuah dan pengubahan wang haram bagi penyediaan perkhidmatan sewaan mesin serta fasiliti.

Selain itu, siasatan juga memfokuskan kepada tuntutan perkhidmatan pelupusan sampah yang telah berlaku pada Januari hingga Oktober 2022 dan juga penerimaan wang rasuah.

Siasatan sedang mengenal pasti kesalahan-kesalahan jenayah lain di bawah Kanun Keseksaan serta kesalahan aktiviti pengubahan wang haram.

Perkara itu susulan Op Flora dijalankan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM di 11 buah premis di sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan semalam, telah membekukan 76 akaun bank terdiri daripada akaun individu dan akaun syarikat melibatkan jumlah kira-kira RM1.68 juta.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN