Bekalan ternakan Aidiladha cukup, hampir 69,000 ekor sedia untuk korban

Bekalan ternakan Aidiladha cukup, hampir 69,000 ekor sedia untuk korban

BEKALAN ternakan untuk sambutan Hari Raya Aidiladha yang disambut pada Sabtu ini dijangka mencukupi dan dapat memenuhi. permintaan di seluruh negara. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekalan ternakan untuk sambutan Hari Raya Aidiladha yang disambut pada Sabtu ini dijangka mencukupi dan dapat memenuhi. permintaan di seluruh negara.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan, mengikut statistik Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), stok bekalan ternakan lembu, kerbau, kambing dan bebiri bagi tujuan korban adalah berjumlah 68,971 ekor setakat Mac lalu.

Katanya, jumlah itu meliputi bekalan lembu dan kerbau sebanyak 38,804 ekor, iaitu 35,581 ekor ternakan tempatan manakala yang diimport adalah sebanyak 3,223 ekor.

“Jumlah keseluruhan bekalan untuk kambing dan bebiri bagi tujuan korban ialah 30,167 ekor.

“Ini meliputi stok bekalan tempatan bagi ternakan itu adalah 26,845 ekor, manakala yang diimport sebanyak 3,322 ekor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut KPKM, mengambil kira keperluan masjid, surau dan rumah sembelih, anggaran permintaan lembu serta kerbau untuk korban dijangka sebanyak 34,451 ekor, manakala permintaan bagi kambing dan bebiri sebanyak 22,453 ekor.

“Justeru, jumlah keseluruhan bekalan ternakan dianggarkan mencukupi bagi menampung permintaan sembelihan bagi tujuan korban tahun 2025,” katanya.

Selain itu, sebanyak 27 buah rumah sembelih milik DVS di seluruh Semenanjung Malaysia sedia untuk beroperasi bagi tujuan penyembelihan ternakan korban.

Di samping itu, katanya, DVS juga telah mengeluarkan lesen kepada 40 buah rumah sembelih swasta di seluruh Semenanjung Malaysia yang boleh memberi perkhidmatan penyembelihan bagi tujuan korban.

“Selain itu, bagi tujuan penyembelihan korban yang ingin dijalankan di luar rumah sembelih seperti di masjid, sekolah, taman perumahan, tempat awam dan lain-lain, permohonan permit penyembelihan luar yang disertakan dengan dokumen berkaitan diperlukan bagi mendapatkan kebenaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN