KOTA BHARU: Bekalan santan di negeri ini dijangka mencukupi apabila bekalan buah kelapa semakin mudah diperoleh sekali gus mampu menampung permintaan pengguna sempena sambutan Hari Raya Aidiladha
Tinjauan Utusan Malaysia di Pasar Siti Khadijah di ini mendapati bekalan santan mudah diperoleh dan peniaga memaklumkan ia mulai pulih sepenuhnya sejak dua minggu lalu.
Harga jualan santan segar masih kekal antara RM15 hingga RM17 untuk sekilogram.
Ismail Hasan, 64, berkata, sejak bekalan kelapa pulih perniagaan semakin lancar berbanding sebelum ini.
“Alhamdulillah, dalam tempoh tiga hari saya berjaya memperoleh 1,000 biji kelapa untuk diproses menjadi santan.
“Kelapa ini saya peroleh dari pembekal di Tumpat,” katanya.
Seorang lagi peniaga Zuranizam Osman, 40, memberitahu, harga belian kelapa menurun sebanyak 20 sen berbanding RM3.50 sebiji sebelum ini.
Katanya, dia berharap bekalan buah kelapa terus mencukupi untuk jualan santan pada Aidiladha nanti.-UTUSAN