JOHOR BAHRU: Tiga buah kedai di Jalan Ungku Puan di sini musnah dalam kebakaran yang dilaporkan berlaku awal pagi, hari ini.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Nordatul Badrol Abd. Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 7.28 pagi.
Katanya, seramai 31 anggota beserta sembilan jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati tiga unit kedai jenis kekal dua tingkat berukuran 22 kaki kali 70 kaki telah musnah kira-kira 95 peratus akibat kebakaran.
“Kerja pemadaman dibuat menggunakan dua aliran 300 kaki empat pancutan dari sumber air tangki jentera dan pili bomba berhampiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Nordatul Badrol berkata, pihaknya berdepan cabaran iaitu tekanan air rendah.
“Sehubungan itu, anggota telah bertindak menghubungi Ranhill SAJ Sdn. Bhd. untuk meningkatkan tekanan air di kawasan tersebut,” katanya. – UTUSAN










