Bapa mangsa nahas di Jerantut terharu terima sumbangan pelbagai pihak - Utusan Malaysia

Bapa mangsa nahas di Jerantut terharu terima sumbangan pelbagai pihak

KHAIRUDIN Abu Hanipah (kanan) ketika menyerahkan sumbangan kepada Aziz Jaafar Yusof di Kampung Panchor di Bota hari ini. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Bapa kepada mangsa yang maut dalam nahas di Jalan Jerantut–Maran, Pahang pada 7 Jun lalu terharu dengan pelbagai sumbangan dan sokongan semangat daripada pelbagai pihak untuk dia menghadapi dugaan kehilangan empat anak dan seorang menantu dalam kemalangan tersebut.

Aziz Jaafar Yusof, 52, berkata, dia dan keluarga amat terharu menerima sumbangan dan perhatian daripada pelbagai pihak termasuk Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Perak Tengah serta warga pendidik yang tampil memberikan sokongan moral dan kewangan.

Menurutnya, walaupun nilai sumbangan yang diterima tidak dapat menggantikan kehilangan anak-anaknya, dia akan menggunakan pemberian tersebut sebaik mungkin.

“Walaupun anak-anak sudah tiada, sekurang-kurangnya masih ada yang ingat dan datang membantu kami.

“Bantuan ini amat kami hargai dan akan digunakan dengan sebaik-baiknya,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Panchor,   Bota di sini hari ini.

Aziz Jaafar menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah yang menyerahkan Insurans Takaful dan penyerahan sumbangan daripada warga pendidik.

Aziz Jaafar turut berkongsi rasa terharu ketika pengebumian empat anak dan menantunya di sini, yang disifatkan sangat mengejutkan.

Menurutnya, ini kerana semasa pengebumian, ramai yang hadir yang terdiri daripada kawan-kawan anaknya serta saudara mara.

“Saya memang tak sangka begitu ramai yang hadir. Anak-anak saya memang jenis ramai kawan. Saya sangat terharu,” katanya.

Sementara itu, pada penyerahan sumbangan hari ini, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Perak Tengah menyerahkan sumbangan berjumlah RM11,270 kepada Aziz Jaafar menerusi Tabung Kutipan Kilat yang dilancarkan berikutan nahas yang berlaku.

Khairudin berkata, kutipan tersebut berjaya dikumpulkan dalam tempoh tiga hari hasil keprihatinan warga pendidik dan orang awam.

“Sumbangan ini merupakan usaha bersama sebagai tanda simpati dan solidariti kepada keluarga mangsa. Ia juga bagi meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh waris.

“Kami amat bersimpati atas kehilangan yang dialami oleh keluarga ini dan berharap sumbangan ini membantu mereka meneruskan kehidupan,” katanya.

Turut disampaikan pada majlis itu ialah bayaran Skim Takaful Pelajar Sekolah Malaysia (TPSS) daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berjumlah RM5,500.

Dalam kemalangan pada 7 Jun lalu, lima maut selepas kereta Perodua Bezza dinaiki terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).

Mangsa yang terkorban ialah empat anak Aziz Jaafar iaitu Nurul Hazwani, 15, kakaknya, Nur Arfiqah, 23, dan suami Nur Arfiqah, Mohamad Ikmal Ishak, 26, serta dua lagi adik lelaki mereka, Mohammad Zulkifli, 21, dan Mohamad Azizul Hakimi, 19. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN