PETALING JAYA : Sebuah bangunan pentadbiran Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Cheras musnah sepenuhnya dalam kebakaran awal pagi tadi.
Kejadian berlaku sekitar pukul 4 pagi dan telah memusnahkan keseluruhan struktur bangunan tersebut, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Razak, Mohd Azizi Abdullah memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.15 pagi.
Tiga jentera dari BBP Bandar Tun Razak, Hang Tuah dan Cheras bersama dua unit tangki air serta satu unit EMRS digerakkan ke lokasi kejadian.
Bangunan terlibat menempatkan bilik guru, bilik mesyuarat, bilik fail dan beberapa ruang lain.
Seramai 44 anggota bomba terlibat dalam operasi memadamkan api yang berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 5.55 pagi. Punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa. – UTUSAN