Bandar Baharu pengeluar durian berkualiti tinggi Kedah

Bandar Baharu pengeluar durian berkualiti tinggi Kedah

TENGKU Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin menyaksikan Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff yang mencuba peralatan khas mengupas durian ketika berangkat ke Majlis Perasmian Durian Agro Tourism Fest Bandar Baharu 2025 di Dataran Bandar Baharu, hari ini. -UTUSAN/AZAHAR HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDAR BAHARU: Daerah Bandar Baharu terus mengekalkan reputasinya sebagai pengeluar utama durian berkualiti tinggi di Kedah, sekali gus menjadi tumpuan penggemar raja buah dari seluruh negara.

Kawasan seperti Bukit Limau, Bagan Samak, Air Puteh, Serdang, Sungai Kechil Ilir dan Relau menjadi pusat utama penanaman pelbagai baka durian unggul seperti Musang King, Duri Hitam, Udang Merah dan D24.

Pegawai Daerah Bandar Baharu, Mohd. Noor Ismail berkata, kawasan tanaman durian di daerah ini merangkumi 684.59 hektar dengan 596.31 hektar telah mengeluarkan hasil.

“Selain buah segar, pelbagai produk hiliran turut dihasilkan seperti dodol durian, aiskrim durian, pes sejuk beku dan isi durian sejuk beku yang menambah nilai ekonomi setempat,” katanya merasmikan Durian Agro Tourism Fest Bandar Baharu 2025 di Dataran Bandar Baharu di sini hari ini.

Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff berangkat mencemar duli ke majlis ini.

Hampir 10 tan durian berjaya dijual kepada para pengunjung sepanjang empat hari program itu yang merupakan penganjuran kali ketiga selepas 2019 dan tahun lalu.

Program itu selari dengan Pelan Pembangunan Negeri Kedah 2035 yang menyasarkan Bandar Baharu sebagai ‘Bandar Durian’ dan destinasi agro pelancongan terkemuka di utara tanah air.

Mohd. Noor berkata, hampir 10,000 pengunjung hadir termasuk dari Parit Buntar, Perak dan Nibong Tebal ,Pulau Pinang yang mana program ini bukan sahaja memperkenalkan durian tempatan kepada pelancong, malah turut memberi impak ekonomi kepada penduduk setempat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN