SEREMBAN: Setiap kali menjelang Hari Raya Aidiladha, nama Azmi Ngah Thani, 69, bukan asing bagi penduduk sekitar Taman Desa Indah, Nilai di sini.
Dengan pengalaman lebih 20 tahun sebagai tukang sembelih, dia menjadi antara individu penting dalam memastikan ibadah korban dijalankan dengan sempurna.
Berasal dari Teluk Intan, Perak, Azmi berkata, penglibatannya dalam tugas itu bermula sekitar 1980 hasil tunjuk ajar bapa mentuanya.
“Saya masih ingat lagi saat pertama kali menyembelih seekor ayam jantan. Menggigil juga tangan, sampai ayam itu terbang ketika saya hendak sembelih,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selepas peristiwa itu, Azmi memberanikan diri cuba menyembelih kambing, kemudian lembu yang akhirnya menjadi tanggungjawab utamanya setiap kali Aidiladha.
Lebih 300 haiwan korban telah disembelihnya dan jumlah paling banyak dalam sehari adalah 12 ekor lembu.
Untuk persiapan hujung minggu ini, Azmi berkata, dia perlu memastikan ketajaman parang mencukupi bagi memastikan kelancaran proses penyembelihan.
“Saya pastikan diri dalam keadaan bersih dan mengambil wuduk sebelum mula. Kekuatan dalaman juga penting agar dapat menyempurnakan tugas dengan tenang dan tepat,” katanya.
Tambah Azmi, tugas sebagai tukang sembelih bukan perkara ringan kerana ia melibatkan pelaksanaan ibadah yang mesti mematuhi hukum syarak.
Setiap tahun, Surau Al-Mahabbah, Taman Desa Indah terus mempercayai Azmi untuk menggalas tanggungjawab itu dan pada tahun lalu, dia menyembelih lapan daripada 53 lembu.
“Saya memang akan beraya di sini setiap tahun sampai selesai semua urusan korban. Ini amanah, dan saya lakukan dengan penuh keikhlasan,” ujarnya. – UTUSAN