PETALING JAYA: “Kandungan yang disebarkan bukan sahaja bersifat fitnah, malah direka-reka dengan niat untuk memburukkan nama baik saya dan keluarga.”
Demikian kata penyanyi, Azharina Azhar tegas menafikan dakwaan kononnya dia sedang berdepan dengan kifarah selepas mendapatkan rawatan daripada bomoh di Thailand.
Kata Azharina, dakwaan itu bukan sahaja berunsurkan fitnah yang mampu menjatuhkan reputasinya sebagai seorang penyanyi, malah mencemarkan maruahnya sebagai seorang ibu dan wanita.
“Saya menafikan sepenuhnya semua dakwaan palsu dan tidak berasas ini. Ini merupakan satu bentuk serangan ke atas keperibadian saya sebagai wanita, ibu, anak serta sebagai figura awam dalam industri hiburan tanah air,” katanya.
Azharina berkata demikian bagi membidas segala tuduhan yang dimuat naik oleh sebuah saluran YouTube, Kesedihan Yang Mendalam pada 13 Jun lalu.
Menerusi video berdurasi hampir 28 minit itu, saluran terbabit bukan sahaja menyentuh isu peribadi tanpa bukti, malah menyebarkan fitnah yang keterlaluan dan berunsur jahat terhadap penyanyi itu serta keluarganya.
Selain dituduh mendapatkan rawatan bomoh di Thailand, saluran tersebut turut mendakwa penyanyi lagu Alergi Sepi itu mengasingkan diri daripada masyarakat selepas rawatan dijalankan.
Malah, saluran tersebut turut mendakwa bahawa ibu kandungnya telah meninggal dunia akibat penyakit lama sekali gus menjadi asbab kehidupan Azharina semakin suram selepas ‘melarikan diri’ daripada dunia seni dan kerjaya sebagai penyanyi.
Berang dengan segala tuduhan tidak berasas itu, Azharina turut meluahkan rasa bengang apabila foto anak sulungnya juga dipaparkan dalam perkongsian tersebut
“Saya amat terkilan dan marah apabila gambar anak saya, Rahmat, digunakan dalam video itu.
“Ini melampaui batas. Mereka bukan sahaja menyerang saya, malah cuba menyeret anak saya yang tidak bersalah ke dalam kancah fitnah ini. Sebagai seorang ibu, saya tidak akan berdiam diri,” jelasnya.
Enggan berdiam diri, Azharina menerusi sebuah laporan media memaklumkan dirinya sudah menyerahkan segala urusan kepada pihak berkuasa selepas membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Jalil.
Dalam pada itu, Azharina turut berharap agar orang ramai tida terpedaya dengan kandungan media sosial yang bersifat sensasi tanpa menyelidik kesahihannya lebih-lebih lagi melibatkan aib dan kehormatan individu.
“Saya berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap video dan pemilik saluran tersebut. Tindakan undang-undang akan saya ambil demi melindungi maruah diri serta keluarga,” ujarnya.-UTUSAN