SUBANG: Beberapa aset baharu Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan mula diterima ke dalam inventori mulai Oktober tahun ini, pada 2026, 2027 dan sehingga hujung 2028.
Mantan Panglima Tentera Udara (PTU), Jeneral Tan Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan berkata, semua aset berkenaan kini dalam proses perolehan.
“Alhamdulillah, dalam tempoh saya diberi amanah ini, kita telah berjaya melaksanakan beberapa pelan yang telah dirancang sepertimana di dalam Kertas Putih Pertahanan secara terperincinya melalui Pelan Strategik Pembangunan TUDM 2055 (CAP55).
“Secara ringkasnya beberapa sistem dan platform seperti sistem pesawat tanpa pemandu (UAS), pesawat FA-50 Light Combat Aircraft (LCA), pesawat Rondaan Maritim (MPA), radar pertahanan udara dan helikopter baharu sedang dalam proses perolehan.
“Kita akan mula terima ke dalam inventori TUDM mulai Oktober tahun ini, 2026, 2027 dan sehingga hujung 2028.
“Semua aset-aset ini akan memberi peningkatan di dalam keupayaan tudm untuk melaksanakan tugas mempertahankan ruang angkasa tanah air tercinta ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Perbarisan Penghargaan Panglima Tentera Udara Ke-20, Upacara Kenaikan Pangkat Panglima Tentera Udara Ke-21 dan Upacara Serah Terima Tugas Panglima Tentera Udara di Pangkalan Udara Subang, di sini hari ini.
Terdahulu, Mohd. Asghar menyempurnakan upacara Pemakaian Pangkat Jeneral kepada PTU ke-21, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris. – UTUSAN