PETALING JAYA: Serangan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran pagi semalam melanggar undang-undang antarabangsa yang sekali gus mampu mencetuskan polemik Perang Dunia Ketiga.
Tindakan itu juga menutup segala pintu rundingan damai antara Israel dengan Iran.
Pakar Geopolitik Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Aminurrasyid Yatiban berkata, serangan ke atas tiga tapak nuklear utama di Iran merupakan pencabulan terang-terangan terhadap kedaulatan negara itu.
Beliau berkata, laporan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) tidak mengesahkan kewujudan senjata nuklear Iran, lantas menimbulkan persoalan terhadap motif sebenar serangan.
Katanya, serangan dijangka memburukkan lagi ketegangan serantau dan meningkatkan risiko tercetusnya perang besar di Asia Barat serta menjejaskan kestabilan global.
“Iran setakat ini bertindak secara bersendirian, namun jika serangan berterusan, penglibatan kuasa besar seperti Russia serta sekutu rapat Iran termasuk Hezbollah (Lubnan) dan Ansarullah (Yaman) tidak boleh diketepikan.
“Selain itu, China turut dilihat bersedia untuk campur tangan jika keadaan terus memuncak. Kumpulan proksi Iran seperti Ansarullah di Yaman telah menyatakan kesediaan untuk menyerang kepentingan AS, termasuk kapal-kapal di Laut Merah serta menyasarkan Israel sekiranya konflik terus berlarutan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pagi semalam, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan tenteranya melancarkan serangan udara terhadap tiga tapak nuklear Iran iaitu Natanz dan Esfahan termasuk di loji Fordow.
Dalam pada itu, geostrategis, Prof. Dr. Azmi Hassan berkata, serangan terhadap Iran berisiko menyebabkan kebocoran bahan radioaktif, membahayakan kawasan sekitar, mencetuskan ancaman kemanusiaan serta alam sekitar.
“Kehadiran AS secara langsung dalam konflik ini dilihat hanya akan memburukkan lagi keadaan, terutamanya apabila negara-negara seperti Russia dan China yang mempunyai kepentingan strategik dan tenaga dengan Iran.
“Ketidaktentuan ini akan terus menjejaskan kestabilan di seluruh rantau Asia Barat, dengan risiko konflik lebih besar sekiranya campur tangan kuasa besar terus berlarutan tanpa penyelesaian diplomatik,” katanya. – UTUSAN










