KUALA LUMPUR: Kira-kira 4,216,436 khazanah warisan negara yang tidak ternilai harganya disimpan Arkib Negara Malaysia (ANM) sehingga tahun lepas.
Antaranya adalah fail, perjanjian, laporan, gambar, peta, teks ucapan dan koleksi persendirian tokoh negara.
Menurut Ketua Pengarah ANM, Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman, kesemua bahan yang disimpan itu mempunyai nilai sejarah, kebangsaan dan penyelidikan yang tidak boleh ditukar ganti.
“Rekod-rekod ini bukan sekadar dokumen semata-mata, sebaliknya menjadi bukti penting kepada pembentukan negara bangsa dan memori kolektif rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia pada program sambutan Minggu Arkib Antarabangsa 2025, di sini semalam.
Katanya, antara koleksi terawal yang tersimpan di Arkib Negara ialah surat Sir Stamford Raffles bertarikh 1810, dokumen Tengku Omar pada tahun 1848 dan manuskrip tulisan tokoh ilmuwan Za’aba sejak 1903.
“Selain itu, koleksi persendirian terbesar yang kami miliki adalah milik mantan Ketua Setiausaha Negara, Allahyarham Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, merangkumi lebih 21,000 unit bahan dalam pelbagai bentuk dan media,” katanya.
Tambah Jaafar, Arkib Nefgara turut menyimpan bahan-bahan berkaitan kemerdekaan negara seperti Watikah Pengisytiharan Kemerdekaan 1957, minit mesyuarat, perjanjian dan gambar-gambar bersejarah.
“Bahan-bahan ini memberi gambaran sebenar bagaimana proses kemerdekaan berlaku dan menjadi rujukan penting generasi masa kini dan akan datang,” katanya lagi.
Selari dengan tema sambutan iaitu Arkib Boleh Diakses, Arkib Untuk Semua, Arkib Negara menjalankan pelbagai program bagi mendedahkan keterbukaan arkib kepada masyarakat. – UTUSAN










